Jumaat, 12 Ogos 2022

Penyanyi Bangladesh ditahan polis kerana nyanyian sumbang, dipaksa untuk menandatangani notis permohonan maaf


Seorang penyanyi lelaki di Bangladesh dikenali sebagai Hero Alom dipaksa untuk menandatangani notis permohonan maaf oleh polis selepas diberitahu bahawa dia 'terlalu hodoh untuk menjadi penyanyi'. Dia juga dilaporkan turut didesak untuk menghentikan nyanyian sumbangnya, lapor akhbar New York Post pada 9 Ogos 2022.


Menurut Alom, pada pukul 6 pagi (waktu tempatan) Khamis lalu, dia ditahan di ibu pejabat polis selama lapan jam, lapor agensi berita AFP. 


"Semua orang secara rawak bertanyakan soalan kepada saya dan saya terpaksa menjawab tanpa henti. Seseorang kemudian tiba-tiba mencengkam rambut saya dan bertanya sama ada saya mempunyai wajah seperti 'hero' (wira)," kata Alom kepada laman berita India Today.


Pihak berkuasa didakwa berang terhadap rakaman Alom yang menyanyikan lagu klasik oleh pemenang Anugerah Nobel, Rabindranath Tagore dan penyair negara, Kazi Nazrul Islam, demikian menurut AFP.


Polis memberitahu bahawa mereka menerima banyak aduan mengenai nyanyian Alom. Penyanyi itu kemudian memohon maaf atas lagu-lagu tersebut selain kerana memakai pakaian seragam polis dalam klip videonya.



"Dia mengubah sepenuhnya gaya tradisional nyanyian lagu itu, namun kini, dia memberi jaminan kepada kami bahawa tidak akan mengulangi perkara itu," kata detektif Dhaka, Harun ur Rashid.


Alom yang mempunyai hampir 2 juta pengikut di Facebook menyiarkan video muzik baharu selepas kejadian itu yang menunjukkan dia berada di sebalik jeriji besi dan hampir dihukum bunuh.


"Ini adalah Bangladesh yang merdeka. Jika saya tidak boleh bercakap, menyanyi atau melakukan aktiviti riadah, maka saya rasa hak saya sedang diragut," katanya kepada India Today. 


Hero Alom sebelum jadi terkenal


Sebelum menjadi terkenal seperti sekarang, Hero Alom pernah bekerja sebagai penjual CD dan DVD. Beliau juga membuat video dan memuat naik video di media sosial, sehingga dia menjadi bahan jenaka apabila dijadikan meme di media sosial.


Hero Alom, yang sebelum ini gemar membuat video pendek bersama wanita dan memuat naiknya di media sosial, secara perlahan-lahan mendapat banyak tontonan dan menjadi tular sejak 2016.


Kerana kandungan yang diciptanya itu menyebabkan dia mendapat gelaran sebagai lelaki paling kacak di Bangladesh. Sejak itu, popularitinya telah meningkat sehingga artis pun berebut-rebut mahu bergambar dengannya. - Sumber New York Post.


Hero Alom dipaksa menandatangani permohonan maaf oleh polis kerana menyanyi sumbang. - Foto RMG.


EmoticonEmoticon