Penduduk Rumah Panjang Renyam, Sungai Asan Bayu, di Sibu, gempar apabila dimaklumkan objek yang ditemukan di atas bumbung sebuah bilik di rumah panjang berkenaan semalam, kemungkinan serpihan roket milik China, Long March 5B.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Balai Bomba Bintangor dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 8.50 malam.
"Setibanya di lokasi, bomba menemui objek mencurigakan dipercayai serpihan roket berukuran 5.8 sentimeter (cm) lebar dan 7.62 cm panjang menembusi atap dan tersangkut di kayu alang rumah berkenaan.
"Menurut pemilik rumah, objek tersebut kemungkinan berada di atas atap beberapa minggu yang lepas kerana dia baru sahaja pulang ke rumah itu," katanya hari ini.
Jelasnya, objek itu hanya disedari setelah pemilik rumah balik dan menyedari atap rumahnya bocor sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa.
Objek disyaki serpihan roket berkenaan kemudiannya dibawa oleh pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu dan Balai Polis Lanang untuk siasatan selanjutnya.
Sementara itu, dalam laporan polis di Balai Polis Sungai Merah pada petang semalam, pemilik rumah menyatakan jirannya memberitahu terdengar bunyi dentuman kuat dari arah bumbung rumahnya pada 30 Julai lepas.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili ketika dihubungi berkata, laporan penemuan objek tersebut diterima pada petang semalam dan ia akan dihantar ke Jabatan Kimia dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom di Kuching untuk pengesahan.
Terdahulu, akhbar melaporkan tular serpihan roket Long March 5B milik negara China melintasi ruang udara Malaysia serta dapat dikesan di beberapa kawasan sekitar Sarawak.
Antaranya di Kampung Semawa Ulu, Pantu Sri Aman dan di beberapa kawasan lain termasuk Kampung Nyalau, Bintulu, Sepupok Lama, Niah serta Kalimantan, Indonesia.
Serpihan roket berkenaan merupakan sebahagian daripada roket milik China yang dilancarkan dari Pusat Pelancaran Angkasa Wenchang di Wenchang, selatan China pada 31 Julai lalu.
BACA: Serpihan roket China 'menerangi' ruang udara Sarawak, terhempas sekitar Laut Sulu.
EmoticonEmoticon