Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) merakam imej Planet Musytari yang belum pernah dilihat sebelum ini menggunakan Teleskop Angkasa James Webb (JWST), lapor akhbar The Sun pada 23 Ogos 2022.
Kamera Infra Merah Dekat (NIRCam) pada JWST mendedahkan rahsia planet terbesar itu secara terperinci dengan menggabungkan beberapa imej menjadi satu. Imej yang dirakam itu turut memaparkan ribut besar yang berpusat di atmosfera planet itu.
Pada imej tersebut, orang ramai boleh melihat aurora memanjang ke altitud tinggi di atas kutub utara dan selatan. Turut kelihatan adalah jerebu yang berpusar di sekeliling kutub-kutub tersebut.
"Sejujurnya kami tidak menyangka imej yang dirakam akan menjadi sehebat itu.
"Ia adalah sesuatu yang luar biasa kerana kita dapat melihat Planet Musytari secara terperinci yang lengkap dengan cincin, satelit kecil dan galaksi dalam satu imej," kata ahli astronomi di Universiti California, Profesor Mike de Pater.
Selain itu, imej tersebut turut memaparkan Titik Merah Besar Musytari yang ikonik, ribut besar yang boleh dilihat pada bahagian bawah kiri.
"Ia kelihatan putih dalam imej ini kerana memantulkan cahaya Matahari. Kecerahan di sini menunjukkan altitud yang tinggi," jelas saintis Webb, Heidi Hammell.
Titik Merah Besar Musytari merupakan ribut terbesar dalam Sistem Solar, berukuran lebar sekitar 16,350 kilometer. Ia adalah 1.3 kali ganda lebih besar daripada diameter Bumi.
Angin ketika kemuncak taufan itu boleh mencecah sehingga 431 kilometer sejam, lebih laju berbanding kelajuan angin terkuat Bumi iaitu 407 kilometer sejam.
Teleskop JWST dilancarkan pada Disember 2021, tetapi imej pertamanya tidak didedahkan kepada umum sehingga Julai 2022. Ia adalah pengganti teleskop angkasa Hubble milik NASA, dan ditugaskan untuk mengkaji alam semesta awal.
Ini dicapai dengan memerhati cahaya dari bintang dan galaksi pertama yang terbentuk selepas Big Bang. Ia kini mengorbit lebih satu juta kilometer jauhnya, dan bersedia untuk menangkap lebih banyak imej keajaiban angkasa lepas - sebelum memancarkannya kembali kepada saintis di Bumi.
Saintis berharap bahawa beberapa data ini dapat membantu mencari planet jauh yang mampu menyokong kehidupan. - Sumber The Sun.
BACA: Roket Bawa Teleskop Paling Berkuasa Di Dunia Melintasi Malaysia Menuju Ke Ruang Angkasa.
EmoticonEmoticon