Khamis, 4 Ogos 2022

Lubang benam bersaiz 'gergasi' secara misteri muncul di Chile gemparkan penduduk


Sebuah lubang benam gergasi berdiameter kira-kira 25 meter muncul di kawasan perlombongan di Chile. Penduduk tempatan mendakwa lubang tersebut semakin membesar, sekali gus mendesak pihak berkuasa untuk menyiasatnya dengan lebih terperinci, lapor akhbar Daily Mail.


Menurut laporan media, pekerja sebuah syarikat Kanada, Lundin Mining yang mengawal tapak perlombongan berhampiran Santiago menemui lubang benam itu apabila kembali bekerja selepas hujung minggu.


Datuk Bandar, Cristobal Zuniga berkata bahawa pasukannya telah menerima aduan mengenai kemunculan lubang itu pada Ahad, 30 Julai lalu di wilayah Atacama, berhampiran lombong tembaga Alcaparros.


"Ia masih aktif dan saiznya makin membesar. Itu adalah penemuan yang tidak pernah terjadi dalam komuniti kami sebelum ini," katanya.


Tapak itu pada ketika ini sedang disiasat oleh perkhidmatan geologi dan perlombongan negara, Sernageomin dan beberapa pihak berkuasa berkaitan.


"Terdapat jarak yang agak jauh pada kedalaman kira-kira 200 meter ke bawah. Kami tidak mengesan sebarang bahan di bawah sana tetapi melihat kehadiran air yang banyak," kata pengarah Sernageomin, David Montenegro.


Tapak itu ditutup untuk siasatan lanjut dan dalam kenyataan mereka, Lundin Mining berkata, tiada pekerja yang hadir cedera atau terjejas oleh lubang itu.


"Setelah dikesan, kawasan itu segera dikosongkan dan pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan telah pun diberitahu mengenai perkara itu. Tiada sebarang kecederaan melibatkan kakitangan, peralatan atau infrastruktur telah dilaporkan.


"Rumah terdekat adalah lebih 600 meter dari lokasi lubang tersebut, manakala mana-mana kawasan berpenduduk atau perkhidmatan awam berada hampir satu kilometer dari zon terjejas," kata kenyataan rasmi syarikat itu. - Sumber Daily Mail.


Datuk Bandar tempatan, Cristobal Zuniga pada hari Ahad, 30 Julai 2022 mengesahkan kemunculan lubang benam itu, dan bercakap mengenai kebimbangan penduduk berhampiran bahawa perlombongan yang berlebihan di kawasan itu boleh membawa akibat bencana. - Foto Reuters.

"Terdapat jarak yang agak jauh pada kedalaman kira-kira 200 meter ke bawah. Kami tidak mengesan sebarang bahan di bawah sana tetapi melihat kehadiran air yang banyak," kata seorang pegawai Chile. - Foto News Flash.

Lubang selebar 25 meter itu secara misteri muncul pada hari Sabtu di komune Tierra Amarilla di Wilayah Atacama, berhampiran dengan lombong gergasi Alcaparros, dan dianggap sedalam lebih daripada 200 meter. - Foto Reuters.

Media Chile mengeluarkan imej udara tentang fenomena aneh yang berlaku di tanah yang dikendalikan oleh Canadian Lundin Mining copper mine, kira-kira 413 batu di utara ibu kota Santiago. - Foto News Flash.


EmoticonEmoticon