Satu kajian baharu mendedahkan bahawa labah-labah mampu bermimpi semasa tidur dan boleh mengalami situasi berdengkur seperti manusia, lapor portal berita MailOnline.
Para saintis tidak boleh mengimbas otak labah-labah, dan jelas sekali tidak boleh menyoal mereka. Jadi, perkara terbaik seterusnya ialah memerhati mereka pada waktu malam.
Penyelidik di Jerman merakam lebih 30 anak labah-labah semasa tidur menggunakan kamera inframerah.
Semasa berehat, serangga itu mempamerkan 'pergerakan retina berkala' yang ditambah dengan 'kedutan anggota badan dan lentik kaki'.
Ia serupa dengan pergerakan pantas mata semasa tidur atau REM pada manusia, iaitu apabila mata bergerak dengan pantas dari sisi ke sisi di belakang kelopak mata yang tertutup semasa mengalami mimpi yang jelas.
Justeru, hasil kajian mencadangkan bahawa labah-labah juga mengalami tidur REM dan mungkin turut mengalami mimpi.
Kajian itu diketuai oleh ahli biologi evolusi di Universiti Konstanz di Jerman, Daniela Roessler dan diterbitkan dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences.
"Saya secara peribadi berpendapat bahawa mereka mengalami mimpi visual, tetapi ia akan menjadi sangat sukar untuk membuktikannya secara saintifik," kata Daniela Roessler.
Para penyelidik berkata ia adalah kali pertama saintis memerhatikan tidur REM pada haiwan yang tidak mempunyai tulang belakang.
"Pergerakan retina yang diperhatikan adalah konsisten termasuk tempoh dan selang masa yang tetap dengan kedua-duanya meningkat sepanjang malam," tulis jurnal tersebut.
EmoticonEmoticon