Sabtu, 20 Ogos 2022

Ibu muda maut terjatuh ketika sertai acara lari dalam guni di Tasikmalaya

Gambar hiasan.

Seorang wanita muda meninggal dunia ketika menyertai pertandingan lumba lari dalam guni menerusi satu program di Mangkabumi, Tasikmalaya pada Rabu 17 Ogos 2022 lalu, lapor Kompas.com.


Berdasarkan video yang dikongsi dalam media sosial, kelihatan wanita muda yang dikenali sebagai Rini, 29, dari Kampung Gunung Bubut, Desa Cipatra, Kecamatan Mangkubumi, Kota Tasikmalaya, Jawa Barat terjatuh dan tidak sedarkan diri ketika menyertai acara tersebut.


Video itu juga menunjukkan orang ramai bersorak kepada peserta pertandingan dengan Rini berada paling depan. Namun, ketika hampir tiba di garis penamat, wanita itu tiba-tiba terjatuh dan kepalanya terhentak pada tanah.


Orang ramai kemudiannya menghampiri mangsa dan cuba membantunya, namun Rini tidak sedarkan diri dan dia terus dikejarkan ke klinik kesihatan berhampiran sebelum disahkan sudah meninggal dunia.


Dalam pada itu, Ketua Polis Mangkabumi, Hartono mengesahkan insiden itu berkata, sebelum meninggal dunia, Rini menyertai acara itu dalam keadaan ceria.


"Menurut keterangan keluarganya, Rini mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan ketika kejadian, dia baru dua bulan melahirkan anak. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa," katanya.


Sementara itu, seorang saksi, Aef Saefudin, 43, berkata beberapa penduduk melarang Rini menyertai acara lumba lari dalam guni kerana baru dua bulan bersalin.


Hartono berkata, pihak keluarga menganggap kematian ibu berusia 29 tahun itu sebagai satu musibah. Selepas kejadian itu, jenazah Rini segera dikebumikan di tanah perkuburan awam.


"Keluarga mangsa selepas mengetahui musibah itu telah ikhlas atas kejadian itu. Mereka tidak akan menyaman sesiapa atas kejadian itu. Kerana, apa yang menimpanya adalah musibah dan keluarga juga telah mengebumikannya di tanah perkuburan awam," jelasnya. - Sumber Kompas.com.


Tangkap layar memaparkan Rini berlari dalam guni sebelum terjatuh ketika mengikuti pertandingan memperingati Hari Kemerdekaan Republik Indonesia di kampungnya pada Rabu lalu. - Foto Kompas.com.


EmoticonEmoticon