Ahad, 28 Ogos 2022

Fenomena pusaran angin di Pantai Paka gemparkan penduduk sekitar


Pengunjung dan penduduk di sekitar Pantai Paka di Dungun, gempar menyaksikan fenomena pusaran angin atau belalai air yang berlaku di kawasan laut tidak jauh dari pantai tersebut, petang semalam.


Fenomena pada pukul 5.40 petang di kawasan laut tersebut sempat dirakam beberapa penduduk dan pengunjung pantai tersebut.


Ia dapat dilihat sejauh beberapa meter sehingga ke pekan Paka sebelum ia semakin mengecil dan hilang kira-kira lebih lima minit kemudian.


Salah seorang penduduk, Zunazri Zulkifli, 42, berkata, dia terkejut melihat kewujudan awan tebal dan pusaran angin sewaktu memandu kereta di kawasan pantai berkenaan.



"Fenomena pusaran angin itu jelas kelihatan walaupun jaraknya agak jauh di tengah laut.


"Sewaktu kejadian, angin tiba-tiba bertiup kuat di pesisir pantai namun hujan tidak turun. Saya juga sempat merakam beberapa keping gambar," katanya ketika dihubungi.


Seorang lagi pengunjung pantai, Roszini Ramli, 43, berkata dia yang bersama dua anaknya terkejut melihat fenomena tersebut.


"Saya belum pernah melihat kejadian ini. Memang agak takut dan terkejut. Bimbang berlaku kejadian buruk, kami cepat-cepat pulang," katanya.


Terdahulu, beberapa keping gambar dan video mengenai kejadian tersebut tular di dalam laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp. - Sumber Kosmo.


Fenomena pusaran angin atau belalai air yang berlaku di perairan Paka dirakam pengunjung Pantai Paka, Dungun,Terengganu, semalam. - Foto tular.


EmoticonEmoticon