Jumaat, 26 Ogos 2022

Eropah dilanda kemarau terburuk dalam 500 tahun, hampir semua sungai kering


Berdasarkan data terbaru, Eropah kini dilanda kemarau terburuk dalam 500 tahun, menjejaskan banyak negara dari Jerman hingga United Kingdom, lapor portal BBC News pada 23 Ogos 2022.


Laporan terbaru dari Balai Cerap Kemarau Global mengatakan 47 peratus daripada benua eropah berada dalam keadaan amaran iaitu tanah semakin kering.


Selain itu, 17 peratus lagi berada dalam keadaan berjaga-jaga bermakna tumbuh-tumbuhan menunjukkan tanda-tanda mengalami tekanan kesan cuaca ekstrem itu.


Laporan itu memberi amaran, musim kemarau akan menjejaskan hasil tanaman, mencetuskan kebakaran hutan dan mungkin berlarutan beberapa bulan lagi di beberapa wilayah selatan Eropah.


Berbanding dengan purata lima tahun sebelumnya, ramalan Kesatuan Eropah (EU) untuk penuaian turun kepada 16 peratus untuk bijirin jagung, kacang soya (15 peratus) dan bunga matahari (12 peratus).


Balai cerap kemarau adalah sebahagian daripada bahagian penyelidikan di Suruhanjaya Eropah. Suruhanjaya memberi amaran, data awal mencadangkan kemarau semasa masih kelihatan paling teruk sejak sekurang-kurangnya 500 tahun.


Pesuruhjaya Penyelidikan, Mariya Gabriel berkatra, gelombang haba dan kekurangan air yang berterusan mencipta tekanan yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada paras air di seluruh EU.


"Kami sedang memerhatikan musim kebakaran hutan dengan ketara melebihi purata dan kesan penting terhadap pengeluaran tanaman. Perubahan iklim sudah pasti lebih ketara setiap tahun," katanya dalam portal BBC.


Laporan itu memberi amaran, hampir semua sungai di Eropah kering. Selain kesan yang jelas terhadap bot dan pengangkutan kargo, sungai kering turut melanda sektor tenaga yang sudah pun mengalami krisis - kuasa hidroelektrik menurun ketara sebanyak 20 peratus.


Laporan itu memberi amaran, keadaan semakin teruk di negara termasuk Itali, Sepanyol, Portugal, Perancis, Jerman, Belanda, Belgium, Luxembourg, Romania, Hungary, utara Serbia, Ukraine, Moldova, Ireland dan United Kingdom. - Sumber BBC News.


Paras air yang merosot di Tasik Serre-Ponçon, Ubaye Serre-Poncon di kawasan pergunungan Alps Perancis. - Foto AFP.


EmoticonEmoticon