Isnin, 15 Ogos 2022

Disangka kapal angkasa, penduduk teruja lihat kapal layar mewah berharga RM200 juta menyusuri muara sungai Kuala Perlis


Kehadiran sebuah kapal layar mewah jenis Adastra di muara Sungai Perlis, Kuala Perlis berhampiran Terminal Feri Kuala Perlis, pada Sabtu lalu ternyata menggamit perhatian orang ramai terutama nelayan serta penduduk kampung yang terletak di pesisiran Sungai Perlis.


Difahamkan, kapal layar mewah yang berharga sekitar USD45 juta (lebih RM200 juta) itu kali pertama menyusuri muara sungai di Kuala Perlis, dan kelihatan terlalu 'asing' berbanding kapal nelayan yang berlabuh di tebing sungai.


Menurut Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan, kapal layar mewah dengan reka bentuk futuristik itu tiba di muara sungai Kuala Perlis kira-kira 12 tengah hari.


"Kehadiran kapal layar berkenaan membuatkan orang ramai terutamanya komuniti nelayan yang berada di sekitar kawasan tersebut teruja dengan kehadirannya.


"Kapal layar itu dipercayai menuju ke sebuah dermaga kapal yang terletak kira-kira 1 kilometer dari muara sungai berkenaan," katanya ketika dihubungi semalam (Ahad).


Tambahnya, kapal berkenaan tidak menghalang laluan nelayan lain namun rata-rata teruja dengan kehadirannya dan ada yang kali pertama melihatnya dari dekat.


"Banyak dah kapal lalu sini cuma saiz tidaklah besar tapi kapal layar yang semalam itu jarang lalu di sini. Jadi nampak macam kapal angkasa atas air pula kerana tak nampak macam kapal atau bot yang kita biasa lihat," kata seorang nelayan, Mat Che Ya, 53.


Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, pihaknya tidak dimaklumkan tentang kehadiran kapal layar mewah itu di muara Sungai Perlis.


"Namun, apa yang dimaklumkan oleh anggota kita yang melakukan rondaan di sekitar perairan Perlis adalah pihak kapal layar mewah itu sudah mendapat kebenaran daripada Jabatan Laut Malaysia menerusi Pejabat Laut Negeri Perlis untuk melalui muara sungai itu dan berlabuh di PME Engineering Sdn Bhd," katanya.


Pengarah Jabatan Laut Wilayah Utara, Mohd. Hafiz Abdul Majid memberitahu, kapal berkenaan menuju ke dermaga Perlis Marine Engineering (PME).


"Kapal tersebut didaftarkan di Hong Kong milik syarikat Dark Star Limited menuju ke PME bagi tujuan penyelenggaraan atau pembaikan. Difahamkan, kapal berkenaan dijadualkan untuk 'docking' (berlabuh) pada hari Isnin atau Selasa," ujarnya. - Sumber Kosmo Online.


Kehadiran kapal layar mewah atau 'superyacht' jenis Adastra di muara Sungai Perlis di Kuala Perlis menggamit perhatian nelayan dan penduduk di tebing sungai itu untuk melihatnya. - Foto Berita Harian Online.


EmoticonEmoticon