Rabu, 24 Ogos 2022

Detik yang menggerunkan apabila kapal layar mewah karam di Itali


Sebuah kapal layar mewah sepanjang lebih 39 meter karam di pantai selatan Itali, selepas mengalami masalah ketika belayar pada Sabtu 20 Ogos lalu.


Menurut laman berita Wion News memetik laporan dari Super Yacht Times, kapal bernama My Saga itu dibina di Itali pada 2007 sebagai Yuko.


Semasa menyeberangi Teluk Squillace, kapal itu mengalami masalah menyebabkan kaptennya menghantar panggilan kecemasan pada lewat malam.


Sebuah kapal pengawal pantai telah dihantar dari pelabuhan Crotone dan mendapati kapal layar itu dimasuki air di hujung buritannya sekitar sembilan batu nautika dari Marina Catanzaro.


Empat penumpang dan seorang anak kapal, semuanya berbangsa Itali segera dibawa turun dari kapal layar terbabit dengan meninggalkan empat anak kapal lain termasuk kapten ketika mereka cuba menyelamatkannya.



Kapal itu kelihatan senget ke kanan ketika kejadian. Sebuah bot tunda kemudiannya dihantar dari Crotone untuk mencuba menyelamatkan kapal layar terbabit.


Operasi menyelamat telah dijalankan tetapi rakaman video yang diambil oleh pengawal pantai Itali menunjukkan buritan kapal layar itu akhirnya hilang di bawah ombak dan air mencecah garisan bumbungnya.


Ia memaksa pasukan penyelamat berhenti untuk menundanya dan kapal layar tersebut mula tenggelam dengan cepat.


Sky News melaporkan bahawa keadaan cuaca yang semakin buruk menyebabkan bot tunda penyelamat tidak dapat membawa kapal layar itu ke pelabuhan.


Kapal layar itu akhirnya tenggelam sekitar jam 1 tengah hari Ahad dengan empat anak kapal di dalamnya dipindahkan ke bot peronda pengawal pantai untuk dibawa ke pelabuhan Catanzaro Marina. - Sumber Wion News.


Sebuah kapal layar mewah tenggelam di perairan Itali. - Foto Guardia Costiera.


EmoticonEmoticon