Jumaat, 8 Julai 2022

Selepas cerai dengan isteri, lelaki robohkan rumah bernilai RM147,229


Seorang lelaki bertindak merobohkan rumah yang dibina dengan kos 500 juta rupiah (RM147,229) pada 2018, selepas bercerai dengan isterinya, lapor Kompas.com pada 7 Julai 2022.


Moh. Suaib dari Desa Larangan Slampar, Kecamatan Tlanakan, Kabupaten Pamekasan, Jawa Timur berkata, dia tidak mahu rumah tersebut didiami bekas isterinya.


Bapa saudara lelaki itu, Abdul Hannan berkata, proses mediasi dijalankan supaya kediaman tersebut tidak dirobohkan selepas cerai dilafazkan di Mahkamah Agama Pamekasan. 


Bagaimanapun, Suaib tetap meneruskan perancangannya kerana dia sekarang tinggal bersama ibu bapanya di Kampung Pangtonggal.


"Proses mediasi bukan sahaja dari mahkamah agama, tetapi dari wakil kedua keluarga telah dilakukan. Malah, tiga jam sebelum rumah tersebut dirobohkan, saya menghubungi Suaib supaya tidak merobohkan rumah itu," kata Hannan, pada Rabu 6 Julai lalu.



Keluarga bekas isteri Suaib hanya menyaksikan rumah tersebut dirobohkan. Sementara itu, dua abang ipar Suaib yang tidak mahu namanya didedahkan, enggan memberikan butiran lanjut.


"Kami telah mencadangkan agar rumah itu diwariskan kepada dua anak mereka, tetapi cadangan itu ditolak, dan akhirnya dirobohkan menggunakan jentera berat dengan bantuan jiran," kata Hannan.


Difahamkan, rumah tersebut dibina menggunakan duit ibu bapa lelaki itu, manakala, tanah tersebut adalah harta pusaka milik ibu bapa bekas isterinya.


Bekas isteri Suaib juga tiada di tempat kejadian. Daripada maklumat yang dikumpul, bekas isteri Suaib melarikan diri ke rumah saudaranya selepas semua barang di rumahnya dibawa keluar dan ada yang diangkut ke rumah Suaib.


Sebuah rumah di Desa Larangan Slampar, Pamekasan dirobohkan selepasa pasangan suami isteri bercerai. - Foto Kompas.com.


EmoticonEmoticon