Satu serpihan tulang rahang manusia yang ditemukan di Sepanyol pada bulan lalu dipercayai berusia 1.4 juta tahun, menjadikannya kemungkinan fosil paling tua pernah ditemukan di benua Eropah.
Sehingga kini, fosil manusia tertua yang pernah ditemukan di Eropah di tapak yang sama pada 2007 dianggarkan berusia 1.2 juta tahun.
Menerusi lapor akhbar Daily Mail pada 8 Julai 2022, fosil itu ditemukan di tapak arkeologi pada 30 Jun lalu di banjaran gunung Atapuerca, yang terkenal dengan penemuan sejarah manusia zaman purba.
Pasukan paleoantropologi secara rasminya belum menentukan usia tulang rahang tersebut, namun disebabkan ia ditemukan lebih dalam berbanding penemuan sebelum ini, maka mereka membuat hipotesis ia lebih berusia. Tulang rahang itu diukur sepanjang 7.6 sentimeter.
Penyelidik telah mengusahakan tapak arkeologi ini sejak 1978 dan sangat teruja apabila mereka menemui tulang rahang berusia 1.2 juta tahun pada tahun 2007.
Seorang daripada pengarah di tapak arkeologi tersebut, Jose Maria Bermudez de Castro berkata, mereka memerlukan masa antara enam hingga lapan bulan untuk melakukan analisis bagi mengenal pasti usia sebenar fosil tersebut.
Selain itu, pasukan saintis juga bertungkus-lumus mengenal pasti tulang rahang itu daripada era manusia yang ke berapa dan menentukan umur tulang.
"Kami perlu meneruskan kajian ini sekurang-kurangnya setahun lagi. Apa yang boleh kami katakan, kami sudah menemukan fosil manusia yang sangat penting, yang menunjukkan kewujudan populasi pertama di Eropah," kata Castro.
Satu kajian yang diterbitkan pada Mac lalu mendapati tulang rahang keturunan manusia pertama adalah sangat kuat kerana sering menggunakan mulut untuk menggigit bahan mentah sebelum kewujudan senjata tajam. - Sumber Daily Mail.
EmoticonEmoticon