Kumpulan saintis Agensi Angkasa Eropah (ESA) menyatakan bahawa orang ramai tidak perlu bimbang berhubung ramalan sebuah asteroid berbahaya akan melanggar Bumi pada tahun 2052, kerana perkara itu tidak akan berlaku, lapor akhbar Mirror UK pada 4 Julai 2022.
Batu angkasa gergasi itu mendahului senarai risiko di seluruh dunia selama berbulan-bulan dan dianggap paling berpotensi melanggar Bumi pada 2 April 2052.
Namun, pakar-pakar pasukan asteroid ESA di Balai Cerap Selatan Eropah akhirnya secara rasmi telah mengeluarkan '2021 QM1' daripada senarai asteroid berisiko mereka.
Pengumuman itu dibuat selepas pemerhatian dan analisis terperinci ke atas asteroid yang hampir tidak kelihatan itu menggunakan teleskop paling sensitif di dunia.
"Kami boleh mengatakan dengan selamat bahawa asteroid paling berbahaya yang diketahui oleh umat manusia pada tahun lepas tidak akan melanggar Bumi sekurang-kurangnya untuk abad yang akan datang," kata ESA dalam satu kenyataan.
Asteroid itu pertama kali ditemui pada 28 Ogos tahun lalu oleh balai cerap Mount Lemmon di Arizona, Amerika Syarikat. Pada mulanya, ia tidak dianggap luar biasa kerana sekitar 12 asteroid baharu yang mengorbit berdekatan Bumi ditemui setiap malam.
Namun, kajian lanjut menggunakan pemerhatian daripada teleskop di seluruh dunia mula membongkar kenyataan lebih membimbangkan. Kajian lebih terperinci kemudian menyatakan perkara sebaliknya.
"Pemerhatian awal memberi kami lebih banyak maklumat tentang laluan asteroid ini bagi melakukan unjuran masa hadapan.
"Kami dapat melihat laluan masa depannya mengelilingi matahari dan pada tahun 2052, ia boleh mendekati Bumi secara berbahaya namun risiko itu telah berkurangan," kata Ketua Pertahanan Planet ESA, Richard Moissl.
Pengiraan orbit adalah berdasarkan pemerhatian beberapa malam dan mungkin tidak pasti. Sebab itu, asteroid sering ditambahkan pada senarai risiko ESA apabila ia ditemui, dan kemudian dialih keluar apabila lebih banyak maklumat tentangnya tersedia. - Sumber Mirror UK.
EmoticonEmoticon