Khamis, 21 Julai 2022

Pernah kena patuk 3,000 kali, Raja Ular Kelantan tidak pernah serik malah masih aktif dalam pertunjukan ular berbisa


Mohd Hamdan Mahadi, 37, atau turut dikenali sebagai Raja Ular Kelantan dalam temubualnya bersama Harian Metro mendedahkan, dirinya pernah dipatuk ular berbisa lebih dari 3,000 kali.


Mohd Hamdan berkata, dia tidak pernah serik malah masih aktif dalam pertunjukan ular berbisa selain menjadi penangkap haiwan itu secara sukarela. Dia sentiasa mementingkan keselamatan ketika menangkap ular bagi mengelak berlaku perkara tidak diingini.


Katanya, ular berbisa menyerang manusia tanpa diduga dan hanya sekali patukan sahaja boleh membunuh mangsa jika lambat menerima rawatan.


"Namun sepanjang lebih 25 tahun berkhidmat sebagai penangkap ular selain kerap berhadapan dengan pelbagai spesies ular berbisa, hanya beberapa kali sahaja saya ditahan dalam wad bagi membuang bisa patukan ular.


"Saya tidak mempunyai ilmu formal atau menghadiri kursus menangkap ular, namun kepakaran menangani haiwan ini datang dengan sendiri.


"Saya menggunakan kemahiran dimiliki bukan untuk pertunjukan, tetapi khusus bagi menjalankan tugas dan kebolehan itu perlu digunakan sebaik mungkin demi membantu masyarakat," katanya ketika ditemui di Kuala Krai.


Bapa kepada empat anak berusia empat hingga 10 tahun ini berkata, dia meminati bidang menangkap ular sejak berusia sembilan tahun dan pernah beberapa kali menangkap ular berbisa yang memasuki rumah penduduk.


"Saya menyediakan perkhidmatan menangkap ular secara sukarela, bukan sahaja di Kelantan, malah ada juga masyarakat dari Kedah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor mempercayai serta yakin dengan kebolehan saya menangkap haiwan berbisa," katanya.


Untuk rekod, dia telah menangkap lebih dari 5,000 pelbagai jenis ular berbisa dan ular yang paling besar serta berbahaya pernah ditangkapnya adalah ular tedung selar sepanjang lebih lima meter pada tahun ini.


Katanya, selain aktif menangkap ular, dia pernah mendapat undangan mengadakan pertunjukan di beberapa negara seperti India, Thailand, dan Singapura. - Sumber Harian Metro.


Walaupun tubuhnya sudah 'dihinggapi' lebih 3,000 patukan ular berbisa, Mohd Hamdan Mahadi atau turut dikenali sebagai Raja Ular Kelantan tidak pernah serik malah masih aktif dalam pertunjukan ular berbisa selain menjadi penangkap haiwan itu secara sukarela.


EmoticonEmoticon