Sekumpulan penduduk di Bangkok, Thailand yang menemui 'mayat' lelaki terapung di sebuah terusan terkejut apabila mendapati ia sebenarnya seorang manusia yang sedang bermeditasi, lapor laman berita Oddity Central pada 4 Julai 2022.
Berdasarkan sebuah rakaman video, orang ramai dilihat memenuhi tebing terusan itu selepas melihat satu 'mayat' terapung di permukaan air longkang dipenuhi sampah-sarap.
Beberapa orang di tebing terusan cuba menjerit ke arah 'mayat' yang terapung untuk memastikan ia benar-benar mati. Mereka juga telah melaporkan perkara itu kepada polis.
Seorang pemuda yang berani turun ke dalam air dan memeriksa keadaan 'mayat' tersebut. Namun, sebaik sahaja menyentuh badan 'mayat' itu, lelaki berkenaan terkejut apabila mendapati ia bergerak dan bercakap kepadanya.
"Kami fikirkan bahawa dia sudah mati. Semua orang menjerit sebelum itu, namun dia langsung tidak bergerak. Apabila ada seseorang cuba menariknya, barulah dia bercakap dan memberitahu bahawa dia sedang bermeditasi," kata seorang anggota penyelamat, Sommatr Promvog.
Selepas membantu mengeluarkan lelaki berkenaan dari terusan tersebut, sebuah ambulans telah dipanggil untuk melakukan pemeriksaan kesihatan lelaki tua itu, dan kakitangan mendapati dia dalam keadaan sedar dan berada dalam keadaan sihat.
Lelaki itu kemudian dihantar pulang ke rumahnya serta diminta melakukan meditasi di tempat yang lebih sesuai. - Sumber Oddity Central.
EmoticonEmoticon