Selasa, 5 Julai 2022

Komet gergasi 2 kali ganda saiz Gunung Everest menuju ke Bumi


Sebuah komet sebesar dua kali ganda saiz Gunung Everest telah memasuki bahagian dalam Sistem Suria kita dan akan melintasi Bumi pada bulan ini, lapor laman berita Wion News pada 2 Julai 2022.


Komet C/2017 K2 (PANSTARRS) atau K2 itu pertama kali dikesan oleh Teleskop Angkasa Hubble di bahagian luar Sistem Suria pada 2017.


K2 ketika itu dianggap sebagai komet aktif paling jauh pernah dikesan walaupun telah diatasi oleh megakomet bernama Bernardinelli-Bernstein tahun lepas.


Menurut ahli-ahli astronomi, K2 akan melakukan perjalanan paling dekat dengan Bumi pada 14 Julai ini, di mana ia akan berada kira-kira 270 juta kilometer (km) dari Bumi.


Mereka yang tidak memiliki teleskop boleh melihat komet itu secara dalam talian menerusi laman web pemerhatian awam seperti Virtual Telescope Project yang dipaparkan secara langsung. Tayangan itu akan bermula pada pukul 10.15 malam (waktu tempatan) pada 14 Julai ini.


Selepas melepasi Bumi pada bulan ini, komet K2 akan meneruskan perjalanan ke arah perihelion iaitu laluan terdekatnya dengan Matahari. Saintis-saintis telah mengesan K2 selama beberapa tahun, namun berlaku perdebatan mengenai saiz nukleus komet itu.


Duta sistem suria dari Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Eddie Irrizarry dan Kelly Kizer Whitt berkata, lebar komet itu dianggarkan sekitar 18 hingga 161 km.


Saiz ekor komet itu pula sedang dibahaskan oleh ahli-ahli astronomi. Jejak habuk dan gas di belakang K2 dianggarkan berada pada lokasi antara 130,000 hingga 800,000 km.


Komet itu semakin cerah apabila ia terus menuju ke arah sistem suria dalaman. Semasa pendekatan terdekatnya pada 14 Julai, komet itu dijangka cerah kepada magnitud 8 atau bahkan 7. Namun, malangnya masih terlalu malap untuk dilihat oleh mata kasar tanpa bantuan, menurut EarthSky.org.


K2 akan kekal dalam paparan teleskop sepanjang musim panas sebelum menuju ke pendekatan terdekatnya dengan Matahari, yang akan berlaku pada 19 Disember. - Sumber Wion News.


Imej komet C/2017 K2 (PanSTARRS). - Foto NASA.


EmoticonEmoticon