Ahad, 3 Julai 2022

Datuk bandar 'berkahwin' dengan aligator betina untuk memohon kesejahteraan alam


Seorang datuk bandar di Mexico 'mengahwini' seekor aligator dalam upacara bertujuan untuk mendapat kesejahteraan dari alam semula jadi, lapor laman berita Wion News pada 1 Julai 2022.


Dalam upacara yang berlangsung pada Khamis, Victor Hugo Sosa 'mengahwini' seekor aligator betina berusia tujuh tahun. Majlis perkahwinan penuh warna-warni itu dimeriahkan dengan alunan muzik, barisan penari serta tetamu yang memakai pakaian tradisional.


Sosa yang merupakan pemimpin suku Orang Asli, turut memberikan ciuman kepada 'pengantin perempuan'. Atas sebab keselamatan, dan untuk mengelakkan gigitan yang tidak diingini, mulut aligator telah diikat rapat lapor Reuters.


Upacara perkahwinan itu dipercayai merupakan amalan suku Orang Asli Chontal dan Huave dari negeri Oaxaca sejak beratus-ratus tahun lalu, sebagai doa untuk memohon kesejahteraan alam.


"Kami meminta hujan yang cukup dari alam semula jadi, makanan yang cukup serta ikan yang banyak di sungai," kata Sosa, yang merupakan datuk bandar komuniti nelayan kecil di pantai Pasifik Oaxaca yang panas terik.


Dalam majlis tersebut, aligator itu dipakaikan dengan gaun pengantin berwarna putih serta pakaian lain. Penduduk tempatan membawa pengantin aligator itu berarak di sekeliling kampung sambil beberapa lelaki mengipas haiwan itu.


Reptilia itu yang dikenali sebagai 'puteri kecil' dianggap sebagai dewi yang mewakili ibu bumi. Menurut ritual, perkahwinan antara 'dewi' dan pemimpin masyarakat mewakili kesatuan antara ketuhanan dan kemanusiaan.


Oaxaca yang terletak di selatan Mexico yang kurang maju, adalah rumah bagi banyak komuniti orang asli yang telah mengekalkan bahasa dan tradisi mereka dengan teguh. - Sumber Wion News.


Sosa 'mengahwini' seekor aligator betina berusia tujuh tahun. - Foto Daily Mail.


EmoticonEmoticon