Sabtu, 16 Julai 2022

Asap 1.5 tan ganja dibakar buat penduduk Colombia 'khayal' ada yang jatuh sakit


Polis di ibu kota Colombia terpaksa meyakinkan orang ramai selepas 1.5 tan ganja yang dibakar membentuk kepulan asap tebal di bandar itu, lapor akhbar Daily Mail pada 14 Julai 2022.


Penduduk di pinggir bandar Medellin Bello menyifatkan 'bau ganja luar biasa' selepas anggota polis membakar stok dadah yang dirampas pada Selasa lalu.


Apabila cuaca semakin berangin, asap ganja mula menyelubungi seluruh bandar sehingga membuatkan penduduk tempatan tidak selesa dengan bau tersebut, malah ada yang mendakwa mereka berasa khayal.


Media tempatan melaporkan penduduk di beberapa blok pangsapuri terpaksa dipindahkan berikutan keadaan itu.


Pejabat Datuk Bandar menjelaskan kepulan asap yang semakin banyak itu 'bukan disebabkan api', sebaliknya ia adalah ganja yang dibakar selepas rampasan dadah lebih satu tan di Bogota pada dua minggu lalu.



Jelasnya, dadah tersebut dipercayai akan diedarkan dan dijual di kawasan kejiranan El Mirador di bandar itu.


Pegawai dari Polis Negara, Tentera Darat dan Bomba serta kakitangan dari Pejabat Peguam Negara terlibat dalam pembakaran terkawal itu.


"Kami merasakan asap yang sangat mengerikan keluar dari kawasan terbabit (lokasi pembakaran). Bau ganja yang terlalu kuat mencetuskan rasa kurang selesa dalam kalangan penduduk sehinggakan ada dalam kalangan mereka seperti mahu jatuh sakit.


"Kami berharap, pihak berkuasa dapat menggunakan pendekatan yang lebih baik dalam melupuskan dadah secara selamat," kata seorang penduduk memberitahu Caracol TV. - Sumber Daily Mail.


Kepulan asap tebal menyelubungi bandar Medellin Bello, Colombia, selepas stok rampasan ganja dibakar besar-besaran. - Foto Daily Mail.


EmoticonEmoticon