Seorang wanita di Mexico mendakwa bahawa dia menguasai bahasa makhluk asing, selepas keupayaan tersembunyinya dibuka kepadanya melalui beberapa siri pertemuan dengan 'alien' di tapak piramid purba, lapor akhbar Daily Star pada 17 Jun 2022.
Wanita itu, Mafe Walker, 45, memuat naik pengalamannya di media sosial selepas melawat tapak piramid purba Teotihuacan yang terletak dekat Bandar Raya Mexico.
Mafe yang mendakwa dirinya ahli bahasa makhluk asing berkata, dia kini boleh bercakap bahasa tambahan itu selepas hidupan dari dunia lain menghubunginya di tapak piramid berkenaan.
"Kuasa itu datang kepada saya dan membuka kunci keupayaan tersembunyi selepas saya melawat tapak piramid Teotihuacan," katanya.
Dalam satu video yang dimuat naik di laman TikTok, wanita itu dilihat bercakap dalam bahasa karut tanpa makna yang jelas. Mafe kemudian diundang ke satu rancangan bual bicara tempatan sebulan selepas klip video percakapannya tular di media sosial.
Dalam program bual bicara berkenaan, Mafe berkata, dia memiliki peranan sebagai medium untuk hidupan asing, sebelum dia mula berbicara dalam bahasa mengarut yang disiarkan secara langsung di Mexico.
Mafe yang dilahirkan di Colombia pada 1977, turut mendakwa fasih berbahasa Inggeris, Sepanyol dan 'bahasa astral'.
Piramid Teotihuacan dikatakan menjadi lokasi tumpuan aktiviti makhluk asing sejak sekian lama disebabkan binaannya yang canggih, jauh lebih maju daripada bangunan lain pada zaman dahulu.
Bangsa Aztec menamakan piramid itu dalam tahun 1400-an selepas struktur tersebut tidak digunakan selama lebih 100 tahun. - Sumber Daily Star.
EmoticonEmoticon