Ahad, 26 Jun 2022

Teleskop China berjaya mengesan sejumlah isyarat dari Alien


Ahli astronomi dari Universiti Normal Beijing, China berjaya mengesan sejumlah isyarat yang mungkin merujuk kepada teknologi dan kehidupan luar angkasa atau lebih dikenali sebagai makhluk asing.


Menurut laporan dari Science and Technology Daily, akhbar rasmi Kementerian Sains dan Teknologi China yang dipetik oleh Science Alert, isyarat itu dirakam teleskop Five hundred meter Aperture Spherical Telescope (FAST) milik China yang mempunyai lebar 500 meter.


Ukuran itu membuatkan FAST menjadi teleskop radio terbesar di dunia dan mendapat julukan Mata Langit. Teleskop itu mula meneroka luar angkasa untuk mencari isyarat radio yang dapat mengesan kehidupan di luar Bumi pada 2019. Ia kemudian menapis data tersebut pada 2020.


Para peneliti menjelaskan, mereka melihat beberapa pita frekuensi kecil mencurigakan iaitu isyarat radio yang biasanya digunakan oleh pesawat dan satelit. Namun menurut mereka, isyarat tersebut juga boleh dihasilkan oleh makhluk asing.


Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk membuat tanggapan sebegitu dan harus melakukan analisis dengan berhati-hati hingga selesai.


"Ini adalah beberapa isyarat elektromagnetik pita kecil yang berbeza dari masa lalu," kata Zhang Tongjie, ketua saintis di Kumpulan Penyelidikan Tamadun Luar Angkasa China, di Universiti Normal Beijing.


"Kemungkinan isyarat yang mencurigakan sebagai sejenis gangguan radio juga sangat tinggi, dan memerlukan pengesahan lanjut dan ia mungkin proses yang panjang," tambahnya.


Berikutan penerbitannya, laporan itu dengan cepat mula diedarkan di rangkaian media sosial China, Weibo dan telah diambil oleh beberapa saluran berita milik kerajaan yang lain. Tetapi sejurus selepas diedarkan, berita itu telah dipadamkan dan tiada sebab jelas di sebalik pemadaman itu.


Bukan yang pertama


Sementara itu, ini bukan kali pertama saintis keliru dengan gelombang radio dari angkasa lepas. Memetik laporan Live Science, pada Ogos 1977 sebuah teleskop dari Ohio State University menangkap gelombang radio yang begitu kuat sehinggakan ia dianggap berasal dari makhluk asing.


Malah pakar-pakar kagum dengan kemunculan gelombang itu. "Wah," kata Jerry Ehman yang terlibat ketika itu. Malangnya, pencarian lanjut tidak menemui tempat yang jelas dari mana isyarat itu datang.


Para saintis kemudian meneka bahawa isyarat itu datang dari bintang seperti matahari, yang terletak di buruj Sagittarius. Bagaimanapun, sumber dari mana gelombang itu datang masih menjadi misteri sehingga kini.


Pada tahun 2019, peristiwa serupa berlaku apabila ahli astronomi mengesan isyarat daripada Proxima Centauri, sistem bintang paling hampir dengan Bima Sakti. Tetapi penyelidikan yang dibuat dua tahun selepas itu mencadangkan isyarat itu datang daripada teknologi manusia yang tidak berfungsi. - Sumber Science Alert.


Teleskop FAST milik Beijing berjaya merakam sejumlah isyarat unik yang turut dikatakan datang daripada makhluk asing. - Foto Ou Donggu/Getty Images.


EmoticonEmoticon