Jumaat, 17 Jun 2022

Teleskop bernilai RM43 bilion 'James Webb' dihentam Meteoroid


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) mendedahkan Teleskop Angkasa Lepas James Webb (JSWT) bertembung dengan meteoroid pada Rabu 8 Jun 2022 lalu. Ia adalah insiden perlanggaran kelima dalam tempoh enam bulan selepas pelancarannya.


Meteoroid kecil yang menghentam Teleskop itu yang baru digunakan pada Mei lalu telah mengenai satu cermin bersalut emasnya.


"Batu angkasa kecil menghentam teleskop bernilai AS$10 bilion (RM43 bilion) hingga memberi sedikit kesan kepada data teleskop itu. Selepas penilaian awal, pasukan mendapati teleskop itu masih berfungsi pada tahap yang melebihi semua keperluan misi.


"Analisis dan pengukuran menyeluruh sedang dijalankan, manakala jurutera sudah memulakan pelarasan semula pada cermin yang terjejas," kata NASA dalam satu kenyataan.


Bagaimanapun, hentaman kelima dan terbesar kepada teleskop itu sejak pelancarannya pada Disember lalu tidak akan mengubah jadual balai cerap mengorbit untuk beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi.


James Webb berada di orbit Matahari kira-kira 1.6 juta kilometer dari Bumi sejak Januari lalu dan dijangka menghasilkan imej kosmos berwarna penuh pertamanya pada Julai ini.


Cermin James Webb direka bentuk untuk menahan hentaman zarah bersaiz habuk yang terbang pada had laju melampau di angkasa, tetapi kesan terbaru dilihat lebih besar daripada yang dimodelkan serta melebihi apa yang boleh diuji oleh pasukan di atas tanah.


Agensi angkasa AS yang menggelar impak itu sebagai 'peristiwa kebetulan yang tidak dapat dielakkan' berkata, ia sudah mengadakan satu pasukan jurutera untuk mengkaji cara mengelakkan kesan masa depan daripada batuan angkasa yang serupa.


Teleskop itu adalah kerjasama antarabangsa bersama Eropah dan Kanada yang diketuai oleh NASA. Northrop Grumman Corp ialah kontraktor utama. - Sumber Space.com


Teleskop Angkasa Lepas James Webb. - Foto NASA.


EmoticonEmoticon