Kerana mahu memikat seorang anggota tentera wanita bergelar janda, seorang pengawal keselamatan sanggup menceroboh masuk ke dalam kem tentera dengan menyamar sebagai pegawai pasukan keselamatan itu, lapor Kosmo pada 2 Jun 2022.
Perbuatan suspek yang berusia 27 tahun dan masih bujang itu bagaimanapun memakan diri, apabila dia diberkas di rumahnya di Rumah Rakyat Sungai Layang, Rembau, pada pukul 5.50 petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, pihaknya merampas pakaian seragam tentera berserta aksesori antaranya senjata 'airsoft', beg yang mempunyai logo pasukan keselamatan dan sepasang gari.
"Hasil soal siasat, lelaki tersebut mengaku terbabit dalam kes menyamar sebagai pegawai tentera di Kem Batalion Kedua, Rejiman 508, Askar Wataniah, Kem Tampin. Suspek melakukan kesalahan itu pada 8 Disember 2018," katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut beliau, siasatan mendapati suspek menyamar sebagai pegawai berpangkat kolonel dalam Grup Gerak Khas, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Siasatan pihak polis juga mendedahkan suspek yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Pedas, telah berkenalan dengan seorang janda yang berkhidmat sebagai tentera di kem tersebut pada tahun 2018 lalu.
Suspek masuk ke kawasan kem atas urusan ingin berjumpa dengan pegawai berpangkat Sarjan Mejar dan Penolong Pegawai Memerintah. Suspek mahu membuktikan kepada wanita itu bahawa dia seorang pegawai berpangkat tinggi dalam ATM.
Bagaimanapun, lelaki itu gagal menunjukkan kad identiti ATM selepas diminta berbuat demikian. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.
EmoticonEmoticon