Kumpulan pelombong di lombong emas Klondike di utara Kanada, dikejutkan dengan penemuan fosil hampir lengkap seekor anak gajah purba atau Mammoth ketika melakukan kerja-kerja penggalian, lapor Daily Mail pada 24 Jun 2022.
Pakar paleontologi, Grant Zazula berkata, fosil yang dinamakan 'Nun cho ga' atau bermaksud anak haiwan besar itu kelihatan hampir sempurna apabila kulit dan bulunya masih terpelihara dengan baik.
"Sebagai ahli paleontologi, ini merupakan salah satu impian sepanjang hidup saya untuk bersemuka dengan seekor Mammoth berbulu sebenar.
"Impian itu menjadi kenyataan hari ini. Nun cho ga cantik dan salah satu daripada haiwan zaman ais mumia yang paling luar biasa yang pernah ditemui di dunia. Saya tidak sabar untuk mengetahui lebih lanjut mengenai fosil ini," katanya.
Fosil itu ditemukan ketika kerja-kerja penggalian lombong dilakukan di kawasan tanah beku di selatan bandar Dawson di wilayah Yukon, yang bersempadan dengan Alaska.
Anak gajah purba itu dipercayai betina dan mati semasa zaman ais, lebih 30,000 tahun lalu. Analisis lanjut mendedahkan anak gajah itu tinggal bersama kuda liar, singa gua dan bison padang rumput gergasi yang pernah berkeliaran di Yukon beribu-ribu tahun dahulu.
Penemuan itu secara tidak langsung menjadi fosil pertama yang hampir lengkap dan masih terpelihara ditemukan di Amerika Utara.
"Kami sangat teruja dengan penemuan penting anak Gajah Mammoth berbulu mumia ini. Tanpa perkongsian antara pelombong emas dan kerajaan Yukon, penemuan seperti ini tidak boleh berlaku," kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Ranj Pillai dalam satu kenyataan.
Menurut kerajaan Yukon, saiz Nun cha go hampir sama dengan fosil anak Mammoth berbulu berusia 42,000 tahun 'Lyuba' yang ditemui di Siberia pada 2007 lalu. - Sumber Daily Mail.
EmoticonEmoticon