Rabu, 15 Jun 2022

Emas bernilai RM74 bilion ditemui dalam kapal karam


Dua lagi bangkai kapal ditemukan di luar pantai Cartagena, Colombia yang dipercayai karam lebih 300 tahun lalu. Ia ditemui bersama sejumlah emas yang dianggarkan bernilai AS$17 bilion (kira-kira RM74 bilion) mengikut piawaian hari ini.


Memetik laporan Newsweek, emas tersebut ditemui oleh pasukan saintis dan jurutera antarabangsa dengan kerjasama Tentera Laut Colombia menggunakan kenderaan kawalan jauh yang dihantar jauh ke dasar laut.


Difahamkan, kapal tersebut merupakan sebuah kapal perang Sepanyol yang membawa 600 orang dan sarat dengan emas, perak dan zamrud. Pada 28 Mei 1708, galleon Tentera Laut Sepanyol San Jose, San Joaquin dan Santa Cruz berlayar dari Portobelo ke Cartagena, diiringi oleh 14 kapal dagang.



Pada 8 Jun, mereka telah diserang oleh empat kapal perang Tentera Laut Diraja dan membuatkan kapal yang membawa emas itu turut meletup dan karam ke dasar laut. Santa Cruz telah ditangkap dan San Joaquin melarikan diri ke tempat selamat di pelabuhan Cartagena.


Presiden Ivan Duque berkongsi perkembangan mengenai penemuan imej baharu dan bangkai kapal berkenaan menerusi satu pengumuman yang disiarkan, Isnin lalu. Pihak berkuasa Colombia juga mengeluarkan rakaman baharu serpihan kapal berkenaan.


Rakaman itu diambil dalam empat misi pemerhatian dilakukan tentera laut Colombia, menggunakan kenderaan kawalan jauh yang dihantar jauh ke dasar laut. Imej biru dan hijau menunjukkan syiling emas, tembikar dan cawan porselin bertaburan di dasar laut.


Ketika ini, banyak aspek penemuan telah ditutup kerana menghormati kerajaan Colombia, yang merahsiakan lokasi sebenar bangkai kapal itu. Ini kerana pihak berkuasa Colombia bimbang pihak lain akan cuba menuntut harta itu untuk diri mereka sendiri, memandangkan nilainya yang sangat besar.


Malah, penemuan itu telah pun menjadi subjek pertempuran politik dan undang-undang yang melibatkan beberapa negara dan syarikat swasta. Antara yang berminat ialah syarikat penyelamat yang berpangkalan di AS yang dikenali sebagai Sea Search Armada (SSA), lapor Associated Press.



Sejurus selepas kerajaan Colombia mengumumkan penemuan itu pada 2015, SSA membuat tuntutan ke atas bangkai kapal itu, dengan alasan bahawa mereka sebenarnya telah mengenal pasti terlebih dahulu lokasi kapal karam itu pada tahun 1982.


Dalam pertikaian undang-undang yang berlarutan lama, kerajaan telah menolak dakwaan syarikat itu, dan menolak kebenaran mereka untuk menyelamatkan bangkai kapal itu atas dasar bahawa ia terletak di perairan Colombia.


Mereka berhujah bahawa kapal itu tidak berada di tempat yang dikatakan oleh SSA dan telah mencabar syarikat itu untuk membuktikan lokasinya.


Duque berkata, kerajaan berhasrat membangunkan mekanisme pembiayaan mampan untuk meneroka bangkai kapal berkenaan serta berhasrat mencari kira-kira 12 lagi bangkai kapal bersejarah dengan teknologi sama. Artifak-artifak yang ditemui akan dipulihkan dan ditempatkan di muzium.


Imej tidak bertarikh ini diambil oleh kenderaan kawalan jauh, ia menunjukkan sisa galleon Sepanyol San Jose yang karam di luar pantai Cartagena, Colombia lebih 300 tahun yang lalu. - Foto Institut Antropologi dan Sejarah Colombia melalui AP.

Bangkai kapal yang ditemukan di luar pantai Cartagena yang dipercayai karam lebih 300 tahun lalu. - Foto Institut Antropologi dan Sejarah Colombia.


EmoticonEmoticon