Ketua pakar kesihatan di Britain memberi amaran kepada pesakit cacar monyet supaya berhenti melakukan hubungan seks buat sementara waktu, kerana dibimbangi boleh membantu penyebaran virus, lapor akhbar Mirror UK pada 30 Mei 2022.
Menerusi garis panduan yang dikeluarkan, sejumlah agensi kesihatan utama di Britain menasihatkan semua pesakit cacar monyet untuk tidak melakukan hubungan seks selama lapan minggu selepas dijangkiti.
Sekiranya ada pesakit yang ingin melakukan hubungan itu, maka mereka digalakkan untuk memakai kondom sebagai perlindungan.
"Pesakit perlu menahan diri daripada berhubungan seks semasa tempoh permulaan gejala dan tidak menyentuh sebarang jenis luka.
"Walaupun ketika ini tiada bukti virus cacar monyet ada dalam cecair alat kelamin, sebagai langkah berjaga-jaga, pesakit dinasihatkan untuk tidak melakukan hubungan seks atau menggunakan kondom selama lapan minggu selepas jangkitan.
"Panduan ini akan dikemas kini apabila terdapat bukti baharu," kata agensi-agensi berkenaan.
Sebelum ini, mereka menegaskan bahawa cacar monyet tersebar melalui sentuhan fizikal terutamanya melalui luka dan kudis. Pesakit turut dinasihatkan untuk mengasingkan diri di rumah sehingga mereka didapati cukup sihat.
Dalam perkembangan berkaitan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan penularan virus cacar monyet yang berlaku ketika ini dilihat tidak akan menjadi pandemik seperti kebimbangan banyak pihak.
Britain menjadi negara pertama merekodkan jangkitan tersebut pada 7 Mei dan sehingga kini, hampir 400 kes dicatatkan di puluhan negara di seluruh dunia.
Pakar cacar monyet WHO, Rosamund Lewis menyatakan, agensi itu tidak melihat wabak berkenaan akan menjadi pandemik.
"Kami tidak rasa cacar monyet akan bertukar menjadi pandemik, namun itu tidak bermakna kita boleh mengambil mudah dengan apa yang berlaku. Adalah lebih bagus jika kita dapat mencegah penularan virus itu daripada merebak lebih teruk," ujarnya. - Sumber Mirror UK.
EmoticonEmoticon