Ahad, 5 Jun 2022

Babi hutan mengamuk sondol, gigit pengunjung berjemur tepi pantai


Seorang wanita cedera selepas digigit babi hutan ketika berjemur di tepi pantai yang sesak dengan pengunjung di Alicante, Sepanyol, lapor Daily Mail pada 3 Jun 2022.


Video yang dirakam pelancong dan pengunjung tempatan menunjukkan orang ramai menjerit dan lari bertempiaran ketika seekor babi hutan tiba-tiba muncul.


Pasukan pengawal pantai berjaya menghalau babi hutan itu sebelum menyedari seorang pengujung wanita berusia 67 tahun mengalami kecederaan akibat digigit haiwan itu.


Sehubungan itu, pasukan kecemasan dikerah ke lokasi kejadian di pantai Costa Blanca dan membawa pengunjung wanita itu ke hospital bagi mendapatkan rawatan.


Pihak berkuasa tidak mengetahui bagaimana babi hutan itu boleh tersesat di kawasan pantai, dan ia dijangka terpisah daripada kawanannya di Taman Negara Serra Gelada yang terletak berhampiran pantai tersebut.


Menurut saksi, babi hutan itu tiba-tiba keluar dari air dan berlari ke arah pengunjung yang sedang berjemur, sebelum menyondol pengunjung wanita lalu menggigitnya pada bahagian kaki.



Sementara itu, pihak berkuasa mengingatkan para pengunjung supaya berhati-hati dan akan melakukan pengawasan lebih kerap bagi menjamin keselamatan orang ramai.


Dalam pengumuman berkaitan, bandar berdekatan di Denia, bersedia menggunakan pemanah untuk memastikan pelancong selamat daripada masalah babi hutan, yang berkeliaran di jalan-jalan bandar pada waktu malam.


Ahli majlis alam sekitar Denia, Maite Perez Conejero mengesahkan bahawa mereka berhubung dengan pemanah pakar dalam usaha untuk menghentikan haiwan itu memakan tanaman petani, menyebabkan kemalangan jalan raya, mengacaukan padang golf dan menyerang manusia.


Pegawai di Denia turut meletakkan perangkap sangkar di kawasan sekitar bandar untuk cuba mengurangkan bilangan babi hutan yang semakin meningkat.


Sangkar itu dipasang dengan kamera untuk membolehkan mereka mengira jumlah babi hutan yang ditangkap, dan mengelak orang terperangkap secara tidak sengaja.


Haiwan itu dipercayai meninggalkan habitat semula jadi mereka di luar bandar untuk mencari makanan. Rancangan untuk menggunakan anak panah sebagai senjata telah dirangka kerana peluru dilarang. - Sumber Daily Mail.


Tangkap layar video menunjukkan seekor babi hutan lari melulu ke arah orang ramai yang berjemur di pantai di Alicante, Sepanyol. - Foto Daily Mail.


EmoticonEmoticon