Ahad, 5 Jun 2022

22 pengantin disatukan tanpa kenali identiti pasangan, hanya tahu selepas dipanggil untuk akad nikah


Tular di media sosial tentang majlis perkahwinan beramai-ramai yang berlangsung baru-baru ini. Seramai 22 pasangan pengantin dinikahkan dalam satu majlis yang diadakan di Sekolah Pondok Darul Falah Pusat di Sidoarjo, Jawa Timur.


Memetik laporan Tribunnews pada 31 Mei 2022, kesemua pengantin itu saling tidak mengenali siapa pasangan mereka ketika dinikahkan. Mereka hanya akan berjumpa buat kali pertama dengan setiap pasangan hidup selepas ketua sekolah mengumumkan nama satu persatu pasangan mereka.


Ketua sekolah pondok tersebut, Syaiful Bakri berkata, acara pernikahan melibatkan ramai pasangan pengantin itu bermula pada tahun 1992 yang lalu. Pada mulanya setiap tiga tahun. Tetapi selepas 1997 ia menjadi setiap lima tahun.


Katanya, kebanyakan pengantin itu merupakan pelajar perempuan dan lelaki di sekolah pondok berkenaan yang sudah cukup umur dan ingin mendirikan rumah tangga.


"Kesemua pelajar itu akan dinikahkan dan mereka hanya bertemu dengan pasangan masing-masing selepas ijab kabul selesai.


"Hal ini tidak menimbulkan masalah kerana setiap pengantin sudah bersedia untuk menerima sesiapa sahaja yang dijadikan suami mereka," katanya seperti yang dilapor Antara.


Jelas Syaiful, pernikahan kali ini merupakan yang ke-7 dilaksanakan di sekolah pondok berkenaan.


Dia menerangkan, selepas para pelajar bernikah, mereka dan suami serta isteri masing-masing akan ditempatkan di cawangan sekolah pondok di beberapa daerah lain bagi membantu operasi.


"Sekurang-kurangnya 250 pasangan pengantin sudah dinikahkan sejak majlis perkahwinan beramai-ramai itu diadakan.


"Para pelajar juga tidak dipaksa sama ada untuk berkahwin dengan rakan mereka di sekolah pondok atau pun orang luar. Jika ada yang mahu berkahwin dengan orang luar, mereka akan merujuk kepada penjaga di sekolah pondok dan mendapatkan nasihat," ujarnya.


Menurut salah seorang bekas sekolah pondok yang juga merupakan pasangan yang dipilih khas di sekolah tersebut, dia juga tidak tahu siapa pasangannya. Setelah akad dilangsungkan, barulah dia mengenali jodohnya itu yang juga satu kampung dengannya.


Rakaman video pernikahan beramai-ramai yang berlangsung pada Ahad, 22 Mei lalu menjadi tular di media sosial.


Kesemua pengantin itu hanya ditemukan dengan isteri atau suami masing-masing selepas ijab kabul selesai.


EmoticonEmoticon