Kes kematian pelakon Thailand, Tangmo Nida kembali menjadi perhatian ramai selepas satu hantaran dalam akaun Facebook milik mendiang seolah-olah mendedahkan kejadian sebenar kematiannya.
Sehingga kini, timbul persoalan gerangan siapakah yang memuat naik hantaran itu sehingga ada yang mendakwa ia dibuat oleh ibu Tangmo, Panida Siriyudthayothi.
Bagaimanapun, perkara tersebut dinafikan oleh peguam wanita itu yang memberitahu Panida sama sekali tidak menggunakan akaun Facebook milik Tangmo.
Sebuah video turut dimuat naik dalam aplikasi TikTok menunjukkan Tangmo sedang memegang gelas minuman sambil menyanyikan lagu dan mengusap rambutnya.
Memetik lapor agensi berita Thailand (TNA) pada 24 Mei 2022, Polis Thailand dijangka mengenal pasti individu yang menyebarkan gambar dan video mendiang Tangmo dalam tempoh tujuh hari.
Pesuruhjaya Biro Siasatan Jenayah Siber, Pol Lt Gen Kornchai Khlaikhlueng berkata, organisasinya sudah meminta pengendali telefon mudah alih untuk mengenal pasti individu yang mengeluarkan gambar dan video melalui akaun media sosial Tangmo, dan dijangka mendapat jawapannya dalam masa tujuh hari.
Katanya, individu itu mungkin mempunyai akses kepada akaun iCloud mendiang kerana semua gambar dan video yang disiarkan dikesan digunakan daripada akaun aktres itu dan polis telah memeriksanya sebelum ini.
Pada 24 Februari lalu, Tangmo dilaporkan lemas selepas terjatuh dari bot laju yang dinaikinya bersama lima orang lain di Sungai Chao Phraya di wilayah Nonthaburi. Mangsa ditemukan terapung tidak jauh dari Jeti Pibul Songkram 1, dua hari selepas dia terjatuh.
Sejak insiden kematian itu, seramai 29 saksi dipanggil oleh pihak polis bagi membantu siasatan. Plot kematian wanita itu terus menimbulkan pelbagai persoalan selepas pengurusnya mengaku memberikan kenyataan palsu mengenai apa yang berlaku di atas bot pada malam pelakon itu lemas.
Polis akhirnya menamatkan siasatan mereka dan mendakwa rakannya memandu bot laju itu secara melulu menyebabkan kematiannya tetapi beberapa aktivis mendakwa dia dibunuh. - Sumber Thailand News.
EmoticonEmoticon