Ahad, 22 Mei 2022

Kajian sahkan wanita lebih suka dan tertarik kepada lelaki kaya


Satu kajian mendedahkan bahawa wanita sememangnya lebih menyukai lelaki kaya untuk dijadikan pasangan, lapor akhbar The Sun pada 17 Mei 2022.


Wanita juga lebih mendapat perhatian jika mereka kelihatan kaya dan berpendidikan, namun kesannya lebih kecil berbanding lelaki.


Penyelidik kajian telah mengimbas 1.8 juta profil pada aplikasi janji temu dari 24 buah negara, dan menyimpulkan bahawa ia berlaku di seluruh dunia.


"Ramai orang cenderung untuk percaya bahawa ia hanyalah stereotaip. Namun, kami mendapati ia berlaku merentasi semua budaya dalam kajian yang dilakukan sejak 1980-an," kata seorang pakar psikologi dari Universiti Swansea, Dr. Andrew Thomas.


Kajian yang dilakukan Thomas menilai lelaki berdasarkan pendapatan, pendidikan dan pekerjaan yang disiarkan pada profil serta kaitannya dengan respons yang diterima daripada wanita bujang.


Lelaki yang memiliki tahap tertinggi pendidikan dan kewangan mendapat respons sebanyak 255 peratus berbanding yang terendah. Bagi wanita, ia adalah 103 peratus.


Dr Thomas juga berkata internet mendorong kedua-dua jantina ke tahap yang melampau untuk kelihatan kaya bagi menarik perhatian kekasih.


"Manusia nampaknya mempunyai keutamaan terhadap wang dan kekayaan pada pasangan.


"Hal ini kerana ia bertindak sebagai petunjuk moden yang bersifat lebih umum serta keupayaan untuk mendapatkan sumber seperti makanan, tempat tinggal, peralatan dan perlindungan," katanya. - Sumber The Sun.


Lelaki kaya seperti Elon Musk lebih 3.5 kali ganda mendapat balasan sembang di aplikasi janji temu. - Foto The Sun.


EmoticonEmoticon