Ahad, 29 Mei 2022

Impian lelaki mahu hidup sebagai haiwan tertunai selepas pakai kostum anjing


Seorang lelaki Jepun dikenali sebagai Toco membuat keputusan untuk menjalani kehidupan sebagai seekor anjing, dengan memakai kostum haiwan itu yang kelihatan amat realistik, lapor laman berita Oddity Central pada 23 Mei 2022.


Impiannya yang sentiasa ingin hidup sebagai haiwan itu direalisasikan sebuah syarikat pakar dalam kesan-kesan dan model khas, Zeppet, yang menyiapkan kostum anjing ultra-realistik untuk menyembunyikan kerangka manusia dan membolehkannya berfantasi.


Pengguna Twitter yang hanya dikenali sebagai Toca itu membelanjakan kira-kira AS$15,000 (RM65,875) untuk memiliki kostum itu, yang kelihatan amat menakjubkan sehinggakan Taco kelihatan seperti anjing Collie sebenar.


Ia dilaporkan dibuat dengan jahitan tangan menggunakan bulu sintetik dan memberi perhatian kepada perincian sebenar anjing baka Collie. Kostum itu mengambil masa selama 40 hari untuk disiapkan. 



"Kami menggunakan beberapa imej anjing Collie dari sudut berbeza, meningkatkan kegebuan bulu bagi menyembunyikan pelapik kostum sebaik mungkin, dan menjadikan bahagian mulut boleh terbuka dan tertutup dengan sendiri.


"Setakat ini, pelanggan utama syarikat kami adalah syarikat-syarikat pengiklanan dan filem. Pelanggan individu hanya merangkumi sekitar 10 peratus daripada jumlah keseluruhan tempahan," kata seorang jurucakap Zeppet.


Kira-kira sebulan lalu, Toco menerusi saluran YouTube miliknya mengumumkan bahawa dia ingin berkongsi kehidupannya sebagai seekor anjing dengan seluruh dunia.


"Saya rasa adalah membazir jika saya seorang sahaja yang berpuas hati (dengan hasil kostum). Jadi saya berkongsi kegembiraan ini dengan menyiarkan video dan gambar di Twitter serta di saluran YouTube," katanya.


Tambahnya, dia tidak menjangkakan perkongsian itu memberi kesan yang hebat kepada ramai orang. Bagaimanapun ketika ditanya mengapa dia mahu hidup sebagai haiwan, Toco berkata, ia adalah sesuatu yang 'sukar' untuk dijawab.


Kisah luar biasa Toco menjadi tular di Jepun malah dipaparkan di rancangan televisyen nasional, seperti Nippon TV 'Sôkai jôhô variety Sukkiri!'. - Sumber Oddity Central.


Toco memakai kostum anjing baka Collie yang kelihatan amat realistik. - Foto Zeppet.


EmoticonEmoticon