Jenama fesyen mewah, Balenciaga kembali mengundang kritikan apabila melancarkan koleksi kasut edisi terhad, yang mengetengahkan tema terlalu lusuh dan buruk, namun harganya mencecah ribuan ringgit sepasang.
Kasut yang paling mahal dalam koleksi itu berharga sehingga AS$1,850 (RM8,136.30), ia koyak di seluruh fabrik, juga mempunyai kesan calar dan tanda gelap yang mengotorkan tapak getah dan nama jenama yang ditulis dengan warna hitam.
Koleksi terbaharu itu datang dalam dua gaya berbeza iaitu 'mule' dan 'high cut'. Mule adalah gaya kasut yang tidak mempunyai bahagian belakang atau kekangan di sekeliling tumit kaki.
Kasut edisi terhad ini juga turut hadir dengan tawaran harga lebih rendah AS$625 (RM2,738) bagi 'high cut' dan AS$495 (RM2,168) untuk gaya 'mule'.
Disediakan dalam warna merah, putih dan hitam, kasut ini mempunyai semua kesan lusuh yang boleh ditemui pada sepasang kasut buruk yang sepatutnya dibuang, dengan logo Balenciaga di hujung tapak.
Menurut kenyataan akhbar Balenciaga, koleksi Paris Sneaker membawa terjamahan bahawa kasut keluaran jenama itu layak dipakai seumur hidup meskipun setelah bertukar lusuh.
Bagaimanapun, gambar promosi yang dikeluarkan gedung fesyen itu mencetuskan kontroversi di media sosial dengan ramai mempersoalkan harga berkenaan tidak padan untuk kasut yang sangat lusuh dan kotor.
Ia seolah-olah mereka menampal jenama berkenaan pada kasut yang lunyai dipakai berkali-kali selama setahun atau lebih.
"Jika kamu membeli kasut Balenciaga bernilai AS$1,850 yang kelihatan seperti ia dilenyek dengan mesin pemotong rumput, sila dapatkan bantuan dan hubungi saya juga kerana saya ingin memahami mana kamu letakkan fikiran kamu pada masa itu," ciap penulis Brendan Dunne dalam Twitter beliau.
Walaupun reaksi terhadap pengeluaran kasut pelik itu sangat negatif, namun ada tanggapan mengatakan pasukan pemasaran Balenciaga mencapai matlamat mereka kerana perkara itu kini menarik perhatian dan menjadi bualan ramai.
Difahamkan hanya 100 pasang kasut versi kotor dan lusuh disediakan untuk edisi kali ini. - Sumber Business Insider.
EmoticonEmoticon