Isnin, 23 Mei 2022

Asteroid gergasi berukuran lebih 1.6 kilometer hampiri Bumi hujung bulan ini


Sebuah asteroid gergasi dengan lebar lebih 1.6 kilometer (km) diramal melakukan perjalanan paling dekat sebelum melintasi Bumi pada hujung Mei ini, lapor agensi berita United Press International (UPI) pada 20 Mei 2022.


Jarak perjalanan asteroid tersebut dikatakan lebih dekat dengan Bumi berbanding kebiasaan sehingga ia boleh dilihat di langit.


Asteroid 7335 itu lebih besar berbanding asteroid-asteroid lain yang pernah melepasi Bumi. Saiznya berukuran sekitar 1.77 km lebar.


Sebagai perbandingan, ia adalah empat kali ganda lebih besar daripada Bangunan Empire State dan dua kali ganda lebih besar daripada bangunan tertinggi dunia iaitu Burj Khalifa yang terletak di Emiriyah Arab Bersatu.


Pada 27 Mei ini, asteroid gergasi itu dijangka melakukan perjalanan paling dekat dengan Bumi. Bagaimanapun, ia dikatakan selamat tanpa sebarang ancaman impak.


Ia ditemui pada 1 Mei 1989 dan merupakan salah satu daripada 2,265 batu angkasa lepas yang dilabelkan oleh NASA sebagai 'asteroid yang berpotensi berbahaya'.


Untuk dianggap sebagai 'berpotensi berbahaya', sebuah asteroid perlu berukuran sekurang-kurangnya 140 meter lebar dan berada pada jarak 7.4 juta kilometer dari orbit Bumi mengelilingi matahari.


Ini mungkin kedengaran dekat pada skala kosmik, tetapi jarak ini lebih daripada 19 kali lebih jauh daripada jarak Bumi ke Bulan. Asteroid 7335 akan berada dalam jarak 4.02 juta km dari Bumi pada penghujung bulan ini, yang hanya lebih 10 kali lebih jauh jarak Bulan dari Bumi.


Walaupun baru-baru ini, Bumi telah dilanda beberapa kali batuan angkasa, tetapi tidak ada yang hampir sebesar Asteroid 7335.


Meteor Chelyabinsk ialah meteor yang didokumentasikan dengan baik yang meletup di atas Rusia pada 15 Februari 2013, kerana ia terbakar di atmosfera Bumi. Letupan itu mempunyai kekuatan 20 hingga 30 kali lebih besar daripada bom atom Hiroshima, dan ia hanya 19.8 meter lebar, menurut EarthSky.


Pada 30 Jun 1908, sebuah asteroid berukuran 60.9 meter melintasi Siberia, dan meletup di udara dengan kekuatan yang lebih dahsyat. Letupan itu meratakan kira-kira 2,092 kilometer persegi hutan di kawasan terpencil Rusia, menurut CBC News. - Sumber United Press International (UPI).


Ilustrasi sebuah asteroid melepasi Bumi. - Foto Sebastian Kaulitzki/Science Photo Library/Corbis.


EmoticonEmoticon