Seorang saintis percaya bahawa makhluk asing berkemungkinan wujud, namun ia tidak berada dalam galaksi Bima Sakti, lapor akhbar Daily Mail pada 23 Mei 2022.
Profesor Brian Cox berkata, tamadun seperti yang dijalani manusia adalah sesuatu yang amat jarang ditemui iaitu hanya satu dalam setiap galaksi secara purata.
"Ia merupakan satu daripada misteri terhebat sama ada perisik makhluk asing telah menemui jalan ke Bumi. Jika anda menyuruh saya meneka, saya akan berkata bahawa terdapat banyak mikrob di serata tempat, dan disebabkan itu kita mencari kehidupan di Marikh.
"Terdapat dua trilion galaksi di alam semesta, saya pasti makhluk asing berada di luar sana," ujarnya.
Cox mengeluarkan kenyataan itu sebagai maklum balas kepada kenyataan Ahli Kongres Amerika Syarikat, Andre Carson yang menyatakan bahawa objek terbang tidak dikenali (UFO) berpotensi memberi ancaman kepada negara itu.
Sementara itu, Monica Grady, profesor sains planet dan angkasa, berkata: "Galaksi kita sangat luas, dengan begitu banyak jenis bintang yang berbeza dengan planet mengelilinginya, secara statistik mungkin kehidupan telah wujud di planet lain.
"Kita tahu bahawa tidak ada tamadun, selain kita, dalam Sistem Suria, jadi mana-mana kehidupan yang telah berkembang untuk membangunkan perjalanan antara bintang perlu menempuh berbilion kilometer.
"Ia akan mengambil masa beribu-ribu tahun, hampir pasti lebih lama daripada 200,000 tahun atau lebih sejak manusia moden berevolusi.
"Saya berharap setiap bentuk kehidupan yang telah berkembang ke peringkat sedemikian akan menyedari bahawa keselamatan, kebenaran, keadilan dan integriti akan menjadi corak tamadun yang jauh lebih baik daripada peperangan, keganasan, ketidakadilan dan kepalsuan," katanya.
Bima Sakti adalah sebuah galaksi pilin berpalang yang merupakan sebahagian galaksi Kumpulan Tempatan dan terletaknya Sistem Suria. Satah galaksi Bima Sakti dapat dilihat dari Bumi sebagai jalur cahaya di langit pada waktu malam, rupa jalur cahaya berkenaan mengilhami nama galaksi ini.
Galaksi Bima Sakti dianggarkan mengandungi 100 hingga 400 bilion butir bintang. Di pusat galaksi ini terletaknya sebuah lohong hitam supermasif dikenali dengan nama Sagittarius A*, jisimnya bernilai 4.100 (± 0.034) juta jisim suria.
Sistem Suria duduk 27,000 tahun cahaya dari pusat tersebut di pinggir dalam Lengan Orion, salah satu lengan gas dan habuk berbentuk pilin dalam galaksi ini. Cakera najam galaksi Bima Sakti mempunyai garis pusat lebih kurang 100,000 tahun cahaya dan purata ketebalannya dipercayai kira-kira 1,000 tahun cahaya. - Sumber Daily Mail.
BACA: Imej pertama lohong hitam di tengah-tengah galaksi Bima Sakti akhirnya dirakam.
EmoticonEmoticon