Sabtu, 16 April 2022

Wayar fon telinga sepanjang 80 sentimeter tersangkut dalam pundi kencing lelaki


Seorang lelaki berusia 34 tahun di Indonesia, berdepan detik cemas apabila wayar fon telinga tersekat di dalam pundi kencingnya, lapor akhbar Daily Mail pada 14 April 2022.


Lelaki itu memberitahu doktor bahawa dia menyumbat wayar fon telinga sepanjang 80 sentimeter itu ke dalam alat sulitnya. Dia turut mengakui melakukan perbuatan tersebut sehingga lima kali dalam seminggu.


Lelaki yang dirahsiakan identitinya tiba di jabatan kecemasan Hospital Pengajaran Akademik Am Dr. Soetomo di kota Surabaya, dengan mengadu sakit perut ketika membuang air kecil.


Menurut laporan jurnal Radiology Case Reports, doktor-doktor menyatakan, wayar itu 'bersarang di dalam pundi kencing pesakit'. Mereka menjalankan ujian X-ray untuk memeriksa lokasi tepat kedudukan wayar itu di dalam badan pesakit.


Wayar setebal tiga milimeter itu kelihatan seperti bergulung tetapi pesakit bernasib baik kerana ia tidak terlekat pada dinding pundi kencingnya. Jika itu berlaku, ia boleh menyebabkan lubang yang memerlukan pembedahan untuk diperbaiki, kata pakar urologi.



Doktor menarik keluar wayar tersebut menggunakan forsep dan lelaki itu dibenarkan pulang selepas ditahan semalaman untuk pemantauan.


Pakar-pakar kesihatan menyifatkan situasi ini sebagai kes klasik polyembolokoilamania iaitu tindakan memasukkan bendasing ke dalam lubang kemaluan. Namun, mereka berkata, pesakit tidak menunjukkan tingkah laku psikotik dan mentalnya berada pada tahap sihat.


Dr Rich Viney, pakar urologi perunding di Hospital Queen Elizabeth di Birmingham, memberitahu MailOnline berkata, jika objek tersangkut di dalam kemaluan, ia boleh menyebabkan beberapa masalah, mulai dari rasa terbakar, ketidakupayaan untuk membuang air kecil dan masalah ereksi.


Katanya, komplikasi yang lebih serius seperti lubang yang muncul di pundi kencing, dan parut pada tiub yang membawa air kencing keluar dari badan, ia mungkin memerlukan prosedur pembedahan yang kompleks untuk diperbetulkan. - Sumber Daily Mail.


Wayar fon telinga yang dikeluarkan dari dalam zakar seorang lelaki Indonesia. - Foto Jam Press.


EmoticonEmoticon