RM25,000 bagi sebiji tembikai. Itu harga buah tembikai dalam kategori 'rare' atau jarang didapati di dunia yang hanya ditanam di Jepun, dan penghasilannya tidak melebihi 100 biji setahun.
Menerusi laman Berita Oddity Central pada 15 April 2022 melaporkan, tembikai jenis Densuke adalah yang paling terkenal dan mahal berbanding lebih 1,200 tembikai jenis lain di seluruh dunia.
Untuk rekod, Densuke hanya ditanam di Pulau Hokkaido, utara Jepun dalam kuantiti kecil dan dikategorikan sebagai buah paling jarang di dunia. Malah, Densuke juga bukanlah buah yang boleh ditemukan di pasar atau kedai runcit.
Sebaliknya, tembikai itu dilelong kepada pembida tertinggi dalam acara yang dinanti-nantikan pada harga beratus-ratus malah beribu-ribu ringgit.
Buah tembikai Densuke paling mahal pernah dijual pada harga 750,000 yen (RM25,121) sebiji pada 2019. Bagaimanapun, harganya turun sejak dua tahun lalu disebabkan oleh pandemik Covid-19 tetapi masih kekal sebagai tembikai termahal di dunia setakat ini.
Portal berita itu turut melaporkan, Densuke terkenal dengan kulitnya yang hitam dan berkilat. Buahnya dikatakan rangup dan mempunyai tahap kemanisan paling tinggi berbanding tembikai jenis lain serta kurang biji.
Menurut majalah The Gardener, tidak dijelaskan mengapa tembikai Densuke tidak ditanam secara meluas di luar Jepun, tetapi benihnya dilaporkan tersedia secara komersial di Eropah dan Amerika Utara.
Harganya yang mahal ditetapkan berikutan faktor masa dan dedikasi diperlukan dalam penanamannya. - Sumber Oddity Central.
EmoticonEmoticon