Ahad, 24 April 2022

Sotong gergasi sepanjang 3 meter ditemui masih hidup di pantai Jepun


Penemuan seekor sotong gergasi sepanjang 9.8 kaki (tiga meter) yang masih hidup di pesisir pantai di Jepun mengejutkan penduduk tempatan, lapor akhbar Daily Star UK pada 21 April 2022.


Haiwan itu ditemui terdampar di Pantai Ugu, Obama, dalam wilayah Fukui pada pukul 10 pagi (waktu tempatan) pada Rabu lalu. Pihak berkuasa tempatan menyifatkan ia sebagai 'penampakan' yang jarang berlaku.


Sotong gergasi itu ditemui hidup, lapor akhbar Jepun Mainichi, memetik kenyataan pegawai Perbandaran Obama.


"Adalah peristiwa luar biasa untuk sotong gergasi dihanyutkan ke daratan hidup-hidup," kata seorang pegawai Perbandaraan Obama.


Menurut media tempatan, sotong gergasi itu akan ditempatkan di Akuarium Echizen Matsushima di bandar Sakai, wilayah Fukui.


Sotong gergasi boleh membesar sehingga 13 meter panjang dan saiznya yang besar dianggap memberi inspirasi kepada kepercayaan tentang kewujudan kraken, iaitu raksasa laut berbentuk sotong dalam mitos zaman dahulu.


Sotong gergasi dipercayai sangat pemalu dan tidak pernah difotokan secara hidup-hidup sebelum 2002, dan hanya dirakam buat kali pertama pada 2006.


Menurut National Geographic, sotong gergasi sepanjang 7.3 meter telah ditangkap oleh saintis di Muzium Sains Negara Jepun dan dibawa ke permukaan pada tahun 2006. - Sumber Daily Star UK.


Sotong ini ditemui masih hidup di pesisir pantai di Jepun. - Foto mainichi.jp.


EmoticonEmoticon