Manusia mungkin makhluk asing selepas sepasukan saintis Jepun mendakwa kehidupan di Bumi mungkin berasal dari planet bertrilion batu jauhnya, lapor akhbar The Sun pada 26 April 2022.
Kajian terbaharu itu mendapati blok binaan kimia dalam asid deoksiribonukleik (DNA) manusia telah dikesan buat kali pertama dalam asteroid, yang melanda Bumi berbilion tahun lalu.
Ini bermakna, benih kehidupan Bumi mungkin berasal dari tempat lain di alam semesta, dan manusia boleh berkembang maju di sebuah planet yang tidak diketahui lokasinya.
Sampel daripada tiga meteorit yang kaya dengan karbon dipanggil Murchison, Murray dan Tagish Lake, telah dianalisis menggunakan teknik terkini.
Profesor dari Universiti Hokkaido, Yasuhiro Oba memberitahu bahawa pasukannya menemui pelbagai jenis bahan organik, termasuk nukleobase dalam blok binaan asas kehidupan manusia.
"Ini mungkin dihantar ke Bumi melalui asteroid, meteorit, komet dan zarah debu antara planet empat bilion tahun lalu, apabila planet kita dihujani oleh serpihan dari angkasa lepas.
"Kami percaya kemasukan bahan organik ini memainkan peranan penting dalam evolusi kehidupan di Bumi. Ini adalah penemuan yang sangat menarik yang meluaskan pemahaman kita tentang bagaimana kehidupan bermula," kata Oba.
Dua jenis blok binaan kimia, atau nukleobes, diperlukan untuk membentuk DNA dan RNA - asas kehidupan di Bumi. Ini dipanggil pirimidin dan purin.
Sebelum ini, hanya purin yang dikenal pasti dalam meteorit, tetapi pasukan Prof Oba mengesan pirimidin dalam eksperimen makmal terbaru mereka. Penemuan itu diterbitkan dalam Nature Communications. - Sumber The Sun.
EmoticonEmoticon