Seorang pemuda di Vietnam tular di media sosial selepas melakukan perubahan fizikal drastik yang menyaksikan dia kelihatan seperti bintang K-Pop, lapor laman berita Oddity Central pada 11 April 2022.
Tran Dang Phuoc Cuong mula menjalani pembedahan plastik ketika dia berusia 17 tahun pada 2009 apabila menyambung pengajian di China. Tran nekad melakukan perubahan pada wajahnya selepas dia gagal mencari pekerjaan sambilan di China kerana dikatakan kurang tampan.
Tran cuba mendapatkan pekerjaan sebagai penari di bar Shanghai yang popular namun ditolak kerana tidak mempunyai wajah yang cukup cantik, dia akhirnya hanya bekerja sebagai pelayan restoran. Dia mula menyimpan wang untuk menukar wajah yang terbukti menjadi penghalang untuk capai impiannya.
Pada tahun 2011, Tran pertama kali menjalani pembedahan untuk mengurangkan saiz hidungnya. Enam bulan kemudian, dia menjalani pembedahan lagi, kali ini untuk menukar bentuk hidung dan memanjangkan hujung hidung.
Selama bertahun-tahun, lelaki itu membentuk semula bibir, melapik dagu, malah menjalani pembedahan selama 12 jam untuk menurunkan tulang pipinya di samping memotong tulang rahang dan membentuk semula hidungnya. Hasilnya, Tran menjadi seorang individu yang baharu.
"Saya tidak akan melupakan saat saya berbaring di atas meja bedah dengan cahaya lampu pembedahan di mata saya, bau antiseptik, anestetik, pembalut, dan muka saya bengkak dan tidak dapat dikenali.
"Ramai orang menyangka bahawa banyak pembedahan plastik boleh membuatkan anda ketagih, tetapi, pada hakikatnya, tiada siapa yang ketagih pada kesakitan. Sudah banyak kali saya terlintas untuk berhenti daripada melakukan pembedahan plastik pada wajah saya," kata Tran.
Namun, lelaki berusia 29 tahun itu tidak pernah membiarkan kesakitan dan penderitaan akibat berulang kali menjalani pembedahan plastik, menghalang impiannya untuk mengubah penampilan sepenuhnya.
Kini, dia tidak sepenuhnya menyokong pembedahan plastik tetapi menasihati mereka yang mempertimbangkan pilihan itu untuk melakukannya, jika mereka fikir ia dapat meningkatkan kehidupan dan keyakinan diri.
Tran sudah bergelar model bagi industri fesyen Vietnam dan berulang alik ke Shanghai untuk menguruskan beberapa perniagaan miliknya di sana.
EmoticonEmoticon