Pakar-pakar terkejut dengan penemuan puluhan bangkai naga laut rumpai terdampar di pinggir-pinggir pantai di Sydney, Australia, selepas hujan turun selama beberapa minggu di negara itu, lapor akhbar Daily Mail pada 12 April 2022.
"Jelas sekali ia adalah kesan daripada beberapa kombinasi fenomena termasuk cuaca yang luar biasa, bahan pencemar yang dihanyutkan ke lautan dan kejadian ombak besar," jelas Profesor Ekologi Marin di Universiti Teknologi Sydney, Dr. David Booth kepada akhbar Sydney Morning Herald.
Menurut Booth, lebih 20 haiwan itu dilaporkan telah mati di sepanjang pantai Sydney sejak dua minggu lalu. Beberapa ekor naga laut rumpai ditemui terdampar di pantai Cronulla, Malabar dan Central Coast.
Booth percaya bilangan sebenar mungkin jauh lebih tinggi, mungkin sebanyak 50 ekor di Sydney sahaja, kerana bukan semua kes itu dilaporkan.
Spesies berkenaan sering ditemui di perairan Australia, namun adalah sesuatu yang luar biasa bagi haiwan itu untuk sesat begitu jauh dari habitat asal. Naga laut dewasa dianggarkan hanya berenang sejauh 50 hingga 500 meter dari habitatnya.
"Perkara ini boleh menyebabkan spesies tersebut kehilangan habitat dan mengubah faktor persekitaran," tambah ketua penyiasat, Dr. Selma Klanten.
Naga laut terkenal dalam kalangan penyelam kerana memiliki warna yang berbeza seperti kuning dan ungu. Pertumbuhannya boleh mencapai sepanjang 45 sentimeter dan kebiasaannya tinggal di antara terumbu karang serta berkait rapat dengan kuda laut.
Ia pernah disenaraikan sebagai spesies terancam dalam Senarai Merah Spesies Terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) dan sesiapa yang cuba mengutip atau membelanya tanpa permit, adalah didapati melakukan kesalahan.
EmoticonEmoticon