Seorang nelayan yang berpangkalan di Murmansk, Rusia menemui sejenis makhluk laut yang mempunyai rupa seperti seekor anak naga, lapor akhbar Daily Mail pada 4 April 2022.
Roman Fedortsov, 39, menangkap ikan kod, haddock dan tenggiri menggunakan pukat tunda komersial dan kadangkala, pukatnya mencapai kedalaman sehingga 3,000 kaki di bawah permukaan laut.
Aktiviti menangkap ikan laut dalam itu menyaksikan Fedortsov kerap menemui haiwan aneh dan yang terbaharu, makhluk laut itu yang digelar sebagai 'anak naga baru menetas' oleh pengguna media sosial.
Haiwan itu bagaimanapun dikenal pasti sebagai chimaera iaitu ikan rawan atau juga jerung hantu. Fedortsov turut menemui makhluk laut lain yang kelihatan mirip dengan burger keju dan donat. Itu hanyalah tiga daripada pelbagai spesies laut pelik dan indah yang ditemui oleh Fedortsov.
Dia menjadi sensasi di internet kerana kerap memuat naik gambar hidupan laut luar biasa. Fedortsov menemui kebanyakan hidupan unik itu di laut Norway dan Barents, utara Rusia.
"Semua jenis ikan cantik dengan cara tersendiri. Saya tidak menganggap hidupan ini menakutkan atau hodoh," kata Fedortsov.
Pengguna Instagram yang ingin tahu telah mempersoalkan apakah makhluk seperti burger keju itu di bahagian komen, dengan lebih daripada 11,000 menyukai siaran itu.
"Saya tidak menyedari itu adalah ikan," kata seorang netizen, manakala seorang lagi menambah; " Pada mulanya saya fikir ini adalah sandwic ayam yang baru untuk dimakan," ulasnya.
EmoticonEmoticon