Ahad, 24 April 2022

NASA rancang misi cari hidupan di Planet Uranus dan Enceladus


Satu laporan saintifik mendedahkan bahawa misi NASA yang seterusnya akan mengutamakan penerokaan Planet Uranus dan Enceladus (bulan Planet Zuhal) yang berais dipercayai 'menyembunyikan lautan rahsia', lapor akhbar Daily Star pada 20 April 2022.


Setiap 10 tahun, Akademi Sains Kebangsaan Amerika Syarikat (NAS) akan menyediakan laporan bagi mengenal pasti matlamat penerokaan angkasa lepas baharu untuk NASA, dan Yayasan Sains Kebangsaan Amerika Syarikat (NSF). 


Menerusi laporan bagi tahun 2022, pakar-pakar bersetuju bahawa keutamaan harus diberikan kepada misi mengumpul sampel tanah dari Planet Marikh dan membawanya ke Bumi.



Projek yang dinamakan inisiatif Mars Sample Return oleh NASA itu dilakukan menggunakan kenderaan penerokaan, Mars Perseverance yang sudah memulakan fasa pertama misi tersebut.


Dua lagi misi Mars Sample Return dirancang untuk menyoroti penerokaan Perseverance menuju ke Kawah Jezero, dalam usaha untuk mencari jawapan kepada persoalan sama ada kehidupan pernah wujud atau masih boleh wujud di Marikh.


"Hanya dengan membawa balik sampel Marikh, barulah kita boleh menjawab persoalan tersebut dengan melakukan eksperimen di dalam makmal yang canggih dan terkini, manakala generasi akan datang boleh mengkajinya menggunakan teknik baharu di masa hadapan," kata NASA.


Bagaimanapun, dua projek baharu yang disebutkan dalam laporan itu adalah berkaitan misi pertama untuk mengorbit Uranus dan pendaratan di bulan keenam terbesar di planet Zuhal iaitu Enceladus. Kedua-dua misi itu mungkin dilaksanakan pada awal tahun 2030-an.


Dalam laporan itu, kapal angkasa pengorbit akan mengorbit Uranus selama beberapa tahun, manakala misi berasingan menggunakan kenderaan darat akan meninjau suasana planet sejuk itu untuk menentukan bahan buatannya.


"Ini akan menjadi misi pertama yang tertumpu kepada salah satu gergasi ais (Uranus) yang penting kerana kita (manusia) fikir ia hanya planet biasa di alam semesta," kata penulis laporan itu, Robin Canup daripada Institut Penyelidikan Barat Daya di Colorado. Sumber Daily Star UK.


Gambar menunjukkan permukaan bulan keenam terbesar di Planet Zuhal, Enceladus. - Foto NASA.

Planet Uranus. - Foto Getty Images.


EmoticonEmoticon