Rabu, 20 April 2022

'Kasino rimba diserbu' 7 lelaki ditahan leka berjudi dalam ladang sawit


MARAN - Tujuh lelaki yang leka bermain judi ditahan dalam serbuan di ladang kelapa sawit di sempadan Felda Jengka 6 dan Jengka 7, Bandar Jengka, di sini, kira-kira pukul 4.30 petang semalam.


Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Norzamri Abd. Rahman berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, membuat serbuan dalam Ladang Kelapa Sawit Felda di lokasi tersebut.


"Dalam serbuan itu, tujuh lelaki sedang berkumpul di dua meja disyaki sedang leka bermain judi belangkas.


"Hasil pemeriksaan, polis merampas perkakasan perjudian iaitu dua meja lipat, dua buah dadu belangkas, kanvas, seutas tali putih, piring dan mangkuk kecil serta wang tunai berjumlah RM4,358," katanya dalam kenyataan, hari ini.



Norzamri berkata, kesemua suspek termasuk dua warga emas berusia lingkungan 40 tahun hingga 69 tahun direman empat hari sehingga 23 April ini, dan kini ditahan di lokap Balai Polis Maran.


Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika sabit kesalahan, suspek boleh didenda tidak melebihi RM,5000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.


"Polis akan terus memantau aktiviti perjudian dan penyalahgunaan dadah di daerah Maran secara berterusan walaupun pada Ramadan," katanya.


Sementara itu, Pengerusi Biro Sosial dan Ekonomi Gabungan Felda Wilayah Jengka, Razak Daud menasihatkan warga Felda tidak lupa diri dengan bermain judi hasil rezeki yang melimpah ketika ini.


Lokasi tujuh lelaki yang ditahan ketika berjudi di ladang kelapa sawit Felda Jengka 6, Bandar Jengka, Maran. - Foto PDRM.


EmoticonEmoticon