Rumah lelong Sotheby bercadang untuk melelong jersi yang dipakai Diego Maradona ketika dia menjaringkan "Gol Tangan Tuhan" pada Piala Dunia 1986. Jersi yang pernah dipakai oleh legenda itu dirancang untuk ditawarkan kepada pengumpul mulai 20 April hingga 4 Mei 2022.
Ia dijangka akan dijual dengan harga £4 juta (RM22.05 juta) dalam satu sesi lelongan. Ikon legenda itu menjaringkan kedua-dua gol ketika suku akhir berdepan England. Gol pertama Maradona dijaringkan secara kontroversi apabila menggunakan tangan bagi menewaskan Peter Shilton.
Bagaimanapun gol kedua dijaringkannya digelar "Gol Abad Ini." Jersi ikonik berwarna biru dipakai Maradona bernombor 10 itu dimiliki bekas pemain tengah skuad Three Lions, Steve Hodge.
Dia mendapat jersi nombor sepuluh milik Maradona selepas bertukar jersi pada penghujung suku akhir Piala Dunia 1986 yang diadakan di Stadium Azteca, Mexico.
Pemain berusia 59 tahun itu tidak melalui hari yang bagus dalam perlawanan berkenaan. Hodge juga secara tidak sengaja memberikan bola kepada Maradona yang menyebabkan 'Gol Tangan Tuhan' itu.
"Saya menjadi pemilik jersi ini selama lebih 35 tahun, sejak Diego dan saya menukar jersi di terowong selepas perlawanan popular itu.
"Ia memang satu penghormatan bermain menentang seorang daripada pemain terhebat dan menakjubkan sepanjang zaman itu," kata Hodge.
Bagi Hodge, jersi Maradona yang dimilikinya bukanlah barang biasa. Kerana, ada nilai sejarah disebaliknya yang membuatkan jersi ini layak mendapat harga yang tinggi.
"Jersi tangan Tuhan mempunyai kepentingan budaya yang mendalam untuk dunia bola sepak, rakyat Argentina dan rakyat England. Saya pasti pemilik baharu akan berbangga dengan jersi bola sepak paling ikonik di dunia," kata Hodge.
Sebelum lelongan, jersi Maradona ini telah dipinjamkan kepada Muzium Bola Sepak Negara di Manchester untuk dipamerkan sejak 2002.
EmoticonEmoticon