Sabtu, 23 April 2022

Gara-gara ketagih main telefon pintar, seekor gorila diserang kawanannya

Gambar Hiasan.

Seekor gorila seberat 190.5 kilogram (kg) terlalu ketagih dengan telefon pintar sehingga tidak perasaan gorila lain menyerangnya, di zoo Lincoln Park di Chicago, lapor akhbar Daily Star pada 18 April 2022.


Sehubungan itu, penjaga zoo diarahkan menghalang pengunjung daripada menunjukkan telefon iPhone mereka kepada gorila bernama Amare. Hal ini demikian kerana Amare gemar mengambil swafoto dan menonton video dalm laman YouTube.


Pihak pengurusan zoo terpaksa membina 'zon penampan' dengan tali bagi menghalang para pengunjung menunjukkan skrin telefon pintar mereka kepada Amare melalui dinding kaca.


Zon itu dibina selepas Amare diserang oleh gorila lain berikutan haiwan itu terganggu dengan peranti seorang daripada pengunjung.


Pihak pengurusan zoo bimbang Amare akan dibuli kerana ketagihannya terhadap telefon pintar yang digunakan untuk melihat gambar individu lain, haiwan peliharaan malah gambar diri sendiri.


"Pihak kami bimbang mengenai Amare yang menggunakan sebahagian besar masanya untuk melihat gambar orang lain di telefon pintar.


"Kami lebih gemar haiwan itu menghabiskan masanya bersama kawanannya dan 'belajar menjadi gorila'," kata pengarah zoo, Stephen Ross.


Amare dikatakan semakin ketagih sehingga gemar duduk di sebelah dinding kaca agar boleh didekati pengunjung zoo yang merakam gambarnya dengan telefon bimbit. - Sumber Daily Star.


Pihak pengurusan zoo membina 'zon penampan' dengan tali bagi menghalang pengunjung menunjukkan skrin telefon pintar mereka kepada Amare. - Foto Fox 32 Chicago.


EmoticonEmoticon