Dalam langkah yang boleh meningkatkan ketegangan di laut yang menjadi pertikaian, China telah mengerahkan pesawat pejuang tercanggihnya, J-20, untuk meronda di Laut China Selatan dan Laut China Timur.
Peter Layton dari Institut Asia Griffith di Australia berkata, tindakan China menempatkan pesawat tempur J-20 memberi dua mesej penting kepada dunia.
"Pertama, ia menunjukkan keyakinan China terhadap keupayaan ketenteraannya, dan kedua memberi amaran kepada negara lain yang mempunyai kepentingan dalam pertikaian wilayah.
"Mesej mereka kepada dunia adalah mana-mana pesawat tentera asing yang menceroboh ruang udara dituntut Beijing sama ada di Laut China Selatan dan Laut China Timur mungkin akan dipintas oleh J-20," katanya.
Bagaimanapun, memetik laporan Global Times yang merupakan akhbar milik kerajaan China, pakar pertahanan berkata, kerahan aset ketenteraan itu bertujuan 'menjaga keselamatan ruang udara dan kepentingan maritim China dengan lebih baik.'
Ren Yukun, seorang jurucakap syarikat pengeluar J-20 yang dikendalikan kerajaan, menambah bahawa ia adalah 'rutin latihan' bagi pesawat tempur itu membuat rondaan memandangkan jet tersebut kini dilengkapi dengan enjin buatan China.
Pengumuman itu dibuat beberapa minggu selepas Ketua Tentera Udara Pasifik Amerika Syarikat (AS), Jeneral Kenneth Wilsbach memaklumkan jet F-35 milik AS dan J-20 berada berdekatan antara satu sama lain di Laut China Timur.
Dilaporkan, model awal jet pejuang J-20 itu menggunakan enjin Rusia namun ia sudah digantikan dengan enjin berkembar yang dihasilkan dalam negara.
Beijing sebelum ini mempamerkan pesawat tempur canggih itu kepada umum pada Pameran Penerbangan Antarabangsa dan Aeroangkasa China ke-13 (Airshow China).
Laut China Selatan dan Laut China Timur menjadi wilayah dipertikaikan lantaran dituntut oleh kebanyakan negara. Beijing menuntut hampir keseluruhan wilayah Laut China Selatan dengan mendakwa mempunyai hak kedaulatan. - Sumber The Times Of India.
EmoticonEmoticon