Selasa, 15 Mac 2022

Wanita tidak tahu dirinya hamil, pergi ke hospital mengalami kekejangan perut pulang bawa bayi


Pelik tapi benar, seorang wanita muda dari Missouri, Amerika Syarikat (AS) yang tidak tahu dirinya hamil hingga pergi ke hospital kerana mengalami kekejangan perut sebelum pulang ke rumah selepas melahirkan bayi.


Menurut laporan Metro UK pada 4 Mac 2022, Abby Vollet yang kini berusia 22 tahun, melahirkan bayi perempuan Khalani, 11 bulan, pada 30 Mac 2021 lalu melalui pembedahan ketika usia kandungan 35 minggu.


Pada mulanya, dia yang merupakan pelajar sepenuh masa pada masa itu dan pekerja jagaan harian pergi ke hospital dengan kekejangan perut yang teruk, kemudian mengetahui bahawa dirinya hamil.


Pakar perubatan terpaksa melakukan pembedahan kecemasan dan dalam tempoh 20 minit, Abby melahirkan anak perempuannya, Khalani. Dia sebelum itu langsung tidak mengetahui bahawa dia hamil.


"Saya tidak tahu bahawa saya hamil. Saya tidak mengalami sebarang gejala dan berat badan saya tidak bertambah. Tiada siapa menyangka jadi begini. Kesakitan bermula dengan sedikit kekejangan perut.


"Kesakitan bertambah teruk sepanjang hari hingga saya tidak boleh bergerak, jadi ibu saya Cindy, yang berusia 54 tahun, membawa saya ke hospital.


"Saya menjalani ujian imbasan ultrabuny dan doktor memberitahu saya hamil. Saya ingat lagi yang saya beritahu doktor bahawa ia tidak benar. Saya sangat terkejut," katanya.


Pada mulanya doktor menganggarkan bahawa Abby hamil kira-kira 20 minggu, tetapi mengesahkan usia kandungan antara 35 hingga 37 minggu selepas pembedahan.


"Pada mulanya saya berasa sangat malu kerana saya akan menjadi ibu muda dan tunggal. Saya juga enggan melihat bayi saya untuk beberapa hari pertama," katanya.


Apabila Abby memberitahu rakan-rakannya apa yang berlaku, mereka menyangka dia bergurau kerana dia berkongsi kisah itu menjelang April Fool's Day. Menurut Abby, tiada siapa percaya ia boleh berlaku kerana berat badannya tidak bertambah.


"Doktor berpendapat kandungan saya pasti berada di kawasan belakang tulang rusuk kerana tiada benjolan dan saya tidak pernah berasa sebarang tendangan.


"Saya juga mendapat haid seperti biasa dan saya selesa memakai semua pakaian sederhana saiz saya sepanjang proses kehamilan," katanya.


Abby Vollet bersama bayinya. - Foto Agensi.


EmoticonEmoticon