Rabu, 2 Mac 2022

Lori membawa muatan telur terbalik 'dirempuh' Perodua Myvi


TAPAH - Seorang wanita mengalami kecederaan parah selepas kereta dinaiki merempuh sebuah lori yang sarat membawa muatan telur ayam di Kilometer 62, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, di sini hari ini.


Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 6.50 pagi, selepas lori telur dipandu lelaki berusia 36 tahun dilanggar dari arah bertentangan oleh sebuah kereta Perodua Myvi.


Katanya, kejadian itu turut menyebabkan kereta Proton Saga BLM yang dipandu seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), yang berada di belakang lori tidak sempat mengelak lalu melanggar kenderaan berat tersebut.


"Nahas berlaku apabila kereta Perodua Myvi dipandu wanita berusia 21 tahun yang datang dari arah bertentangan masuk laluan lori tersebut sebelum melanggarnya.


"Sebuah kereta Proton Saga BLM yang tidak sempat mengelak kemudiannya terlanggar bahagian belakang lori tersebut dan pemandu Perodua Myvi berusia 21 tahun cedera di pinggang dan kepala," katanya.


Menurut beliau, pemandu lori dan Proton Saga BLM tidak cedera manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.


Menurut Wan Azharuddin, akibat kemalangan itu Perodua Myvi dipandu wanita berusia 21 itu mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan, manakala lori berkenaan juga mengalami kerosakan pada bahagian sama termasuk muatan yang turut rosak.


Kereta Proton Saga tersebut turut mengalami kerosakan pada bahagian bampar dan bonet sebelah kiri. Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Kenderaan Perodua Myvi yang dinaiki mangsa rosak teruk pada bahagian hadapan dalam kejadian kemalangan KM62 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, di sini pada Rabu.


Keadaan lori muatan telur ayam yang terbalik setelah terlibat kemalangan di Kilometer 62, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di Tapah, Perak, hari ini.


EmoticonEmoticon