Ahad, 6 Mac 2022

Saintis cuba rungkai misteri mumia ikan duyung berusia 300 tahun


Sekumpulan saintis Jepun akan mengkaji satu mumia 'ikan duyung' yang ditemui sekitar tahun 1736 hingga 1741 di luar Pulau Shikoku, Lautan Pasifik, lapor akhbar New York Post pada 3 Mac 2022.


Mumia makhluk misteri yang mempunyai wajah menyerupai manusia dan ekor seperti ikan itu menyebabkan pakar-pakar keliru selama beberapa abad.


Kedua-dua tangan makhluk itu berada dalam keadaan memegang wajahnya, selain rambutnya juga masih boleh dilihat serta terdapat gigi yang tajam.


Pasukan penyelidik dari Universiti Sains dan Seni Kurashiki telah melakukan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT) bagi mendedahkan misteri makhluk itu.


Menurut seorang penyelidik, Hiroshi Kinoshita, mumia yang kini disimpan di sebuah tokong di bandar Asakuchi itu dipercayai berkemungkinan mempunyai kepentingan dari sudut agama.


"Ikan duyung Jepun mempunyai legenda keabadian. Masyarakat percaya sekiranya seseorang itu makan daging ikan duyung, dia tidak akan mati.



"Beberapa legenda di Jepun menyatakan bahawa terdapat seorang wanita yang memakan daging ikan duyung, dan dia mampu hidup selama 800 tahun," kata Kinoshita.


Namun, tidak jelas bagaimana atau sejak bila mumia itu berada di kuil tersebut, tetapi ketua kuil, Kozen Kuida, berkata ia telah dipamerkan dalam bekas kaca kira-kira 40 tahun lalu dan kini disimpan dalam peti besi kalis api.


Sementara itu, mumia tersebut turut disimpan bersama sepucuk surat bertarikh tahun 1903 yang ditulis oleh pemilik terdahulu untuk memberitahu mengenai latar belakang penemuan makhluk tersebut.


"Seekor ikan duyung telah ditangkap menggunakan jala ikan di laut wilayah Kochi. Nelayan yang menangkapnya tidak mengetahui bahawa ia adalah seekor duyung bahkan membawanya ke Osaka untuk dijual sebagai ikan biasa.


Hiroshi Kinoshita bagaimanapun mengambil pandangan yang lebih pragmatik tentang makhluk itu. Dia percaya ia telah dihasilkan pada satu ketika semasa zaman Edo - era sejarah Jepun yang menjangkau dari 1603 hingga 1867.


"Sudah tentu, saya tidak fikir ia adalah ikan duyung sebenar. Saya rasa ini dibuat untuk eksport ke Eropah semasa zaman Edo.


"Lagenda ikan duyung kekal di Eropah, China dan Jepun serta seluruh dunia. Oleh itu, saya dapat membayangkan bahawa orang pada masa itu juga sangat berminat dengannya.


"Saya fikir ia diperbuat daripada haiwan hidup dan kami ingin mengenal pasti mereka melalui imbasan CT atau ujian DNA," katanya.


Mumia tersebut mungkin dihasilkan daripada badan dan kepala monyet yang dijahit pada bahagian belakang ikan. Para saintis yang memeriksa mumia itu akan menerbitkan penemuan mereka pada akhir tahun ini.


Kedua-dua tangan makhluk itu berada dalam keadaan memegang wajahnya, selain rambutnya juga masih boleh dilihat serta terdapat gigi yang tajam. - Foto Hiroshi Kinoshita.


EmoticonEmoticon