Sebanyak 74 gambar misi Apollo milik NASA yang mendokumentasikan penerokaan angkasa lepas akan dilelong. Ia termasuk gambar pertama earthrise yang disaksikan manusia dan gambar langkah pertama manusia di Bulan, lapor laman berita Wion News pada 7 Mac 2022.
Earthrise adalah gambar Bumi dan bahagian permukaan Bulan yang diambil oleh angkasawan William Anders pada 1968 semasa misi Apollo 8. Beberapa koleksi gambar itu adalah milik arkib NASA sendiri dan tidak diketahui umum.
Salinan terpilih adalah yang pernah muncul di muka depan majalah-majalah di Amerika Syarikat (AS) untuk memberitahu mengenai kejayaan negara itu dalam penerokaan di Bulan.
Lelongan koleksi peribadi milik seorang warga asing yang dirahsiakan identitinya itu dijadualkan berlangsung pada 9 Mac 2022, dan akan menyaksikan 74 gambar itu dilelong secara individu.
NASA memutuskan untuk melelong gambar-gambar itu sempena ulang tahun ke-60 ucapan terkenal bekas Presiden AS, John F. Kennedy mengenai Bulan pada tahun ini.
"Kata-katanya yang berinspirasi pada 1962 bukan hanya mengenai misi untuk meletakkan manusia di Bulan, malah untuk merangsang semangat di mana segala-galanya mampu dicapai oleh manusia dengan peredaran zaman," kata NASA.
Lelongan itu juga termasuk gambar lawatan terakhir Kennedy ke NASA di Cape Canaveral pada 16 November 1963, hanya enam hari sebelum kematiannya yang tragis.
Rumah lelong Denmark, Bruun Rasmussen yang bertanggungjawab untuk acara itu berkata, koleks itu itu dijangka dapat menjana perolehan lebih daripada AS$2 juta (RM8.36 juta).
EmoticonEmoticon