Satu kajian baharu mendakwa mayat manusia berusia 8,000 tahun yang ditemukan di Portugal, boleh memberikan bukti mumifikasi paling awal di dunia, lapor Daily Mail pada 7 Mac 2022.
Beberapa penyelidik telah mengkaji gambar-gambar sisa rangka 13 manusia yang digali dalam sebuah kubur pada awal tahun 1960-an di Lembah Sado, Portugal.
Kumpulan penyelidik itu dapat membina semula posisi asal ketika mayat dikebumikan, sekali gus memberi 'peluang unik' untuk mengetahui lebih lanjut mengenai upacara pengebumian mayat pada 8,000 tahun lalu.
Analisis menunjukkan beberapa mayat dikebumikan dalam kaki dibengkokkan ke lutut dan diletakkan di hadapan dada. Pakar mendedahkan sesetengah mayat mungkin diawet sebelum dikebumikan bagi mengelak 'menjadi busuk'.
Setakat ini, mumia Chinchorro yang berusia lebih 7,000 tahun di utara Chile merupakan mumia tertua di dunia yang diawet oleh manusia.
Sementara itu, satu kajian sebelum ini mendedahkan orang Mesir purba melakukan pengawetan mumia sehingga 5,700 tahun lalu.
Kajian baharu ini menunjukkan kaedah pengawetan mumia paling awal diketahui berlaku di Lembah Sado. Dalam erti kata lain, mayat di Lembah Sado dianggap sebagai mayat manusia pertama yang diketahui sudah diawet.
Walau bagaimanapun, tisu lembut tidak lagi dipelihara dan mayat tersebut sepenuhnya hanya rangka, bermakna mayat Lembah Sado tidak lagi dalam keadaan mumia. Secara teknikal, mumia ialah mayat manusia atau haiwan yang tisu lembut dan organnya telah dipelihara.
Kajian baru itu telah dijalankan oleh ahli arkeologi di Universiti Uppsala dan Universiti Linnaeus di Sweden dan Universiti Lisbon di Portugal.
EmoticonEmoticon